Page 2 - eBOOK_Buku Ringkas Penerangan TH
P. 2
BUKU RINGKAS PENERANGAN ISU TABUNG HAJI
INTIPATI PENERANGAN
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (AGAMA)
DI PARLIMEN PADA 10 APRIL 2019
1. Kemelut yang melanda Lembaga Tabung Haji (TH) bukan perkara baru, sebaliknya
ia sudah lama berakar-umbi. Pada Disember 2015, mantan Gabenor Bank Negara
Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada TH memberi
amaran mengenai kekurangan aset berbanding jumlah wang pendeposit, di
mana, jika tidak ditangani dengan baik ianya boleh menggugat kelangsungan
jangka panjang TH.
2. Namun yang demikian, amaran ini tidak dipedulikan oleh pengurusan dan
pentadbiran yang lama. Hibah yang tinggi terus diberikan untuk mengaburi mata
pendeposit. Dalam masa yang sama, fakta sebenar tidak didedahkan kepada
umum mengenai masalah kewangan yang dihadapi akibat amalan pelaburan
yang tidak berhemat serta meragukan. Hibah tetap diisytiharkan walaupun
jumlah aset kekal rendah berbanding jumlah tanggungan semenjak tahun 2014.
3. Menjelang akhir tahun 2017, kekurangan aset telah menjangkau
RM4.1 bilion berdasarkan laporan kewangan yang telah diaudit
oleh Jabatan Audit Negara (JAN). Laporan kewangan 2017
telah diubah-ubah bagi meningkatkan jumlah pengagihan
hibah dengan menyorokkan kerugian yang dialami menerusi
manipulasi polisi perakaunan. Perkara ini telah dibangkitkan
oleh JAN di bawah “Emphasis of Matter” pada ketika itu.
4. Setelah pihak pengurusan dan pentadbiran baru dilantik dari kalangan profesional
pada bulan Julai 2018, suatu penilaian kedudukan kewangan dan pelaburan
secara komprehensif telah dibuat. Berdasarkan penemuan awal penilaian
tersebut, terdapat beberapa salah laku telah dikenalpasti. Ekoran daripada itu,
laporan polis telah dibuat oleh pihak pengurusan untuk tindakan lanjut pihak
berkuasa.
5. Langkah pemulihan yang komprehensif ini telah segera dilaksana bagi memulihkan
“kerosakan-kerosakan” yang berlaku kepada TH dalam tempoh yang singkat,
iaitu kurang dari enam (6) bulan.
1