Page 135 - eDinamik
P. 135
BENGKEL KEMAHIRAN PENDIDIKAN SENI BATIK SOFT TOYS
BERSAMA PKAYIS
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor bersama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka
(FSSR), UiTM Cawangan Melaka buat julung kalinya memupuk kerjasama melalui kolaborasi
bersama Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Daerah Segamat (PKAYIS). Program
satu hari ini melibatkan enam orang pensyarah UiTM dan 58 orang anak-anak yatim telah
diadakan pada 21 Januari 2019 bertempat di Dewan Darul Saadah, PKAYIS. Timbalan Rektor
Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, UiTM Cawangan Johor turut hadir dan memberi
sokongan padu dalam program ini.
Objektif utama program adalah para peserta dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran
praktikal, memupuk budaya kreatif dan inovasi melalui kerja berkumpulan, memberi ruang dan
peluang kepada peserta untuk mengembangkan bakat, minat dan potensi dalam projek inovasi
mengikut kreativiti peserta berdasarkan bahan dan garis panduan yang dibekalkan serta
mewujudkan jalinan kolaborasi antara universiti dan masyarakat setempat.
Dalam program ini, Pensyarah FSSR, Encik Rafuzan Jaafar telah berkongsi idea, kepakaran dan
pengalaman beliau dalam merekabentuk patung-patung “soft toys” berasaskan bentuk haiwan
menggunakan kain batik Malaysia. Para peserta diberi bahan seperti kain batik serta peralatan
menjahit untuk menyiapkan anak patung mereka. Seterusnya mereka diajar cara-cara menjahit
dan mencantumkan bahan-bahan untuk dijadikan anak patung mengikut kreativiti sendiri. Yang
Dipertua PKAYIS, Tuan Haji Taher Masri melahirkan rasa terima kasih kepada pihak UiTM yang
telah sudi menjayakan program ini bagi menambah pengetahuan dan kemahiran anak-anak
yatim di sini.
Disediakan oleh: Prof. Madya Dr. Saunah binti Zainon dan Nurulzulaiha binti Sa’udah @ Suhadak
126