Page 136 - eDinamik
P. 136

KEM MATEMATIK



       Pada 6 Ogos 2019, Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM) telah menerima kunjungan
       seramai 39 orang murid dan 6 orang guru pengiring dari Sekolah Kebangsaan Parit Pinang Seribu,
       Muar. Murid-murid pada mulanya dibawa ke Makmal Data Raya (Big Data Lab, BDL) dan
       seterusnya ke Dewan Kuliah untuk menjalani aktiviti Kem Matematik. Kem tersebut dikendalikan
       oleh 5 orang fasilitator daripada kalangan pensyarah FSKM. Sebanyak 4 aktiviti berkumpulan telah
       dijalankan dengan tujuan menarik minat murid-murid ini terhadap subjek matematik.


       Permainan pertama ialah Kuiz Zim Zam. Permainan ini melibatkan sifir 5 (zim) dan sifir 7 (zam).
       Murid-murid perlu mendengar nombor yang diberi oleh fasilitator dan menjawab dengan perkataan
       ‘zim’ atau ‘zam’. Permainan seterusnya ialah Litar Euler. Setiap kumpulan diberi sehelai kertas
       dengan lukisan litar yang sama. Litar tersebut mempunyai 11 nod. Setiap kumpulan perlu melakar
       laluan bermula di mana-mana nod dan berakhir di nod yang asal tanpa melalui laluan yang sama.

       Seterusnya ialah permainan susun angka. Murid-murid diarahkan untuk menyusun angka 1 hingga
       8 ke dalam kotak yang disediakan. Kedudukan nombor yang berturut tidak boleh disusun
       bersebelahan, atas atau bawah. Permainan terakhir ialah silangkata matematik. Silangkata ini
       melibatkan 20 soalan berdasarkan silibus tahap 2 sekolah rendah. Permainan-permainan ini
       memerlukan murid-murid berfikir secara cepat dan kreatif serta kesepakatan antara ahli kumpulan
       untuk memberi jawapan yang betul.

       Setiap kumpulan diberi markah mengikut kepantasan menjawab soalan. Kumpulan dengan
       markah tertinggi mendapat johan dan seterusnya. Program sebegini perlu diteruskan di peringkat
       sekolah menengah untuk menarik minat terhadap subjek matematik seterusnya memberi
       persediaan awal sebelum ke universiti kelak.




























          Disediakan oleh: Haslenda Yusop, Siti Nor Khadijah Arunah




   127
   131   132   133   134   135   136   137   138   139   140   141