Page 86 - eDinamik
P. 86
LANGKAH PENGURANGAN PENGGUNAAN MINYAK
MENTAH DEMI KELESTARIAN ALAM SEKITAR -
PENDEKATAN KES KOREA SELATAN
Radyiah binti Ab Aziz
Pertumbuhan ekonomi amat penting dalam meningkatkan prestasi ekonomi sesebuah
negara. Kajian lepas menunjukkan penggunaan minyak mentah berkait rapat dengan
pertumbuhan ekonomi. Semakin meningkat pertumbuhan ekonomi, semakin meningkat
penggunaan minyak mentah (Yoo, 2006). Peningkatan penggunaan minyak mentah pula
pastinya memberikan impak negatif kepada alam sekitar seperti pelepasan gas-gas rumah
hijau yang berbahaya. Oleh itu, sesebuah negara perlu mengambil langkah efektif
melestarikan alam sekitar tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Langkah menggunakan sumber minyak mentah dengan efisyen boleh dilakukan
dengan mencari sumber tenaga pengganti minyak mentah yang lebih mesra alam.
Sebagai contoh, menurut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air Malaysia (2010),
sisa minyak kelapa sawit, sisa bahan pertanian dan aktiviti perhutanan merupakan sumber
terbesar yang menyumbang kepada tenaga biomas (apa sahaja bahan organik yang boleh
digunakan sebagai sumber tenaga) di Malaysia. Selain itu, tenaga biomas telah mendapat
perhatian dunia disebabkan kenaikan harga bahan api lain seperti fosil di samping
keperihatinan terdapat pencemaran dan penjagaan sumber tenaga. Terdapat pelbagai
jenis sumber biomas. Antaranya etanol (apa-apa sahaja bahan organik yang mengandungi
gula, kanji atau selulosa boleh dijadikan etanol), lignocellulosic (berasal daripada bahan
pertanian bukan makanan, bahan buangan makanan, dan bahan buangan industri) dan
butanol - boleh dihasilkan menggunakan bakteria daripada Genus Clostridium. Butanol
ialah bahan api yang yang dianggap lebih baik daripada etanol dan menyerupai gasolin.
Selain itu, sistem pengangkutan awam yang lestari merupakan idea yang agak baik
bagi membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Mengambil contoh di Korea
Selatan, kenderaan di sana menggunakan 39 juta tan minyak mentah per sumber tenaga,
iaitu 81 peratus daripada sumber tenaga adalah daripada kenderaan yang berasaskan
jalan raya. Oleh itu, disebabkan kebanyakan sumber tenaga datang daripada minyak
mentah, sektor kenderaan di Korea Selatan menyumbangkan kepada enam gas rumah
hijau dengan kenderaan di jalan raya menyumbangkan peratusan yang terbanyak (Chris,
2010). Oleh yang demikian, Korea Selatan telah membangunkan sistem kemudahan
pengangkutan awam dengan meminimumkan penggunaan karbon.
77