Page 83 - eDinamik
P. 83
Walau bagaimanapun, pada 22 Februari 2006, pelaksanaan GST sekali lagi
ditangguhkan sehingga 1 Januari 2007. Ini kerana kerajaan mahu memberikan masa yang
mencukupi kepada para peniaga dan pengeluar untuk penyusunan semula perniagaan,
pembangunan sistem, dan latihan staf apabila sistem percukaian baharu dilaksanakan.
Sekali lagi, pada 24 November 2009, Rang Undang-Undang GST telah dibacakan di
Parlimen dan di Dewan Rakyat sebagai satu langkah untuk membangunkan sistem
percukaian yang lebih cekap, berkesan dan mampan. Walau bagaimanapun, pada April
2010, penangguhan GST telah diumumkan semula disebabkan oleh dua faktor iaitu: (i)
untuk memastikan undang-undang berkaitan perlaksanaan GST siap sepenuhnya; dan (ii)
untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat.
Pada tahun 2010, di bawah Model Ekonomi Baru, Perdana Menteri keenam telah
mencadangkan pembaharuan dalam sistem percukaian bertujuan untuk meningkatkan
pendapatan negara. Komponen utama pembaharuan ini adalah untuk memperluas asas
cukai dengan pengenalan sistem GST.
Asas cukai yang lebih pelbagai adalah untuk mengurangkan pergantungan kepada: (i)
cukai pendapatan, masing-masing pada tahun 2012 dan 2013 menyumbang 56.4 dan 58
peratus; dan (ii) hasil petroleum, yang pada tahun 2012 dan 2013 masing-masing
menyumbang 32.6 dan 30.6.
Akhirnya, dalam Belanjawan 2014, Datuk Seri Najib Tun Razak, mencadangkan GST
dilaksanakan pada kadar 6 peratus mulai 1 April 2015. Model GST Malaysia telah dipilih
dan terdiri daripada tiga jenis mekanisme cukai: (i) kadar standard, (ii ) kadar sifar, dan (iii)
pengecualian. Model ini digunakan untuk mengurangkan kesan GST ke atas kumpulan
berpendapatan rendah. Dalam tempoh perlaksanaan, GST telah menyumbangkan hasil
tahunan sebanyak RM44 bilion kepada negara.
Namun, mekanisma perlaksanaan GST telah diperbaiki selepas pilihan raya umum ke-
14 apabila Pakatan Harapan membentuk kerajaan baru. Kerajaan yang diketuai oleh Tun
Dr. Mahathir Mohamad telah mengubah mekanisma GST daripada kadar 6 peratus
kepada kadar sifar bermula dari 1 Jun 2018 selepas genap 3 tahun dan 2 bulan
perlaksanaannya.
Perubahan mekanisma ini adalah hasil daripada manifesto yang telah dibuat oleh
Pakatan Harapan semasa kempen pilihanraya iaitu untuk menghapuskan GST. Manakala,
pada 1 September 2018, cukai baru telah diperkenalkan untuk menggantikan GST, iaitu
SST. Reformasi cukai ini diperlukan untuk meningkatkan semula permintaan agregat dan
kuasa beli pengguna.
74