Page 79 - eDinamik
P. 79
JEJAK JEPUN PENGARUHI BUDAYA KERJA RAKYAT
MALAYSIA
Siti Nordiyana binti Isahak, Nor Hamiza binti Mohd Ghani,
Zailati binti Ahmad
Sejak merdeka, pengaruh barat terutamanya British telah mempengaruhi budaya kerja dan
juga cara hidup masyarakat Malaysia secara amnya. Keangkuhan dan kesempurnaan budaya
kerja Barat yang sering diperkatakan sedikit sebanyak mulai luntur apabila Perdana Menteri
Malaysia ke-empat, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu memperkenalkan Dasar Pandang
Ke Timur (DPT). Setelah diumumkan pada tanggal 8hb Februari 1982 di Persidangan “5 th
Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA”, yang diadakan di Hotel Hilton Kuala Lumpur
ini, Malaysia tidak lagi menoleh ke belakang apabila menjadikan negara-negara di Timur
seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura (tumpuan negara lebih kepada Jepun)
sebagai contoh dan tauladan kepada rakyat Malaysia dalam usaha meningkatkan prestasi
pengurusan dan pembangunan di sektor awam dan swasta. Perubahan dasar ini telah
memberikan kejutan kepada Barat terutamanya Britain yang sememangnya mempunyai
hubungan baik dengan Malaysia sejak sebelum merdeka lagi.
Nilai disiplin dan sifat kesetiaan yang tinggi dalam kalangan rakyat di Jepun dan Korea ini
telah menambat hati Perdana Menteri untuk menukar dasar luar negara. Seperti yang sedia
maklum, kejayaan sesuatu perhubungan antarabangsa sesebuah negara amat bergantung
dengan dasar luar yang dilaksanakan. Malaysia tidak terkecuali untuk menjaga hal ehwal
luarnya sebaik sahaja negara bebas dan merdeka pada 31 Ogos 1957. Malaysia yang
dikenali dengan nama Tanah Melayu pada ketika itu telah mengalami pelbagai bentuk
transformasi seiring dengan perubahan tampuk pemerintahan negara. Namun, harus diakui
secantik manapun lakaran pelan dan dasar pembangunan negara yang telah disusun,
sekiranya intipati perlaksanaannya tidak diperhalusi dengan baik maka pincanglah matlamat
yang ingin dikejar.
Setelah 37 tahun dilaksanakan, dasar ini di lihat masih lagi releven dan kembali rancak
diterjemahkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kembali menerajui tampuk
pemerintahan negara pada tahun 2018. Misi memodenkan Malaysia melalui DPT ini, telah
menampakkan sisi menarik di mana budaya kerja Jepun mula diaplikasikan sedikit demi
sedikit dalam budaya kerja harian rakyat Malaysia. Dasar ini sekaligus memperluaskan lagi
ruang pelaburan dan meningkatkan hubungan baik di antara Malaysia dan Jepun yang telah
sedia terjalin. Penghantaran pelajar Malaysia ke Jepun dan Korea Selatan untuk melanjutkan
pengajian pada peringkat ijazah pertama dan pasca siswazah telah membawa impak yang
baik kepada kelainan perjalanan sektor perindustrian dan perkhidmatan negara. Sifat
kelembutan, kerajinan dan disiplin yang tinggi telah dapat diterapkan dengan baik dalam
sektor pekerjaan dan menjadi ikutan rakan sekerja.
70