Page 194 - e-Dinamik
P. 194
Karya Kreatif
CERPAN: BERLUMBA DENGAN CIK PONTI
Siti Musliha Ajmal Binti Mokhtar
Kisah yang saya ingin sampaikan adalah kisah benar diceritakan oleh mak saya sendiri. Mak adalah anak yang
ke 7 daripada 11 adik-beradik. Keturunan nyaei dan yaie (panggilan untuk nenek dan datuk dalam Bahasa
Jawa) berasal daripada Kepulauan Jawa, Indonesia dan rata-rata mereka memang mempunyai ilmu ‘istimewa’
sebagai pendinding. Pernah juga mak cerita arwah yaei pergi dan balik ke Kepulauan Jawa hari yang sama, dan
membawa pulang kain dari sana. Sebagai peneroka di Kampung Parit Pelampong, Johor, yaei banyak
membersih tanah hingga bukit dan gunung sebagai kawasan tanaman padi, salah satunya di kaki Gunung Sari.
Masa mak saya sekolah rendah, antara tugas utama adalah menghantar makanan kepada abang-abang yang
bertani dan bermalam di gunung itu kerana jarak yang jauh. Cerita ini berkisarkan pengalaman mak sepanjang
perjalanan pergi dan balik daripada Gunung Sari tapi saya olahkan mewakilkan mak sebagai pencerita. Ada juga
yang ditokok tambah untuk penyedap cerita, semoga para pembaca terhibur!
Hari itu seperti biasa aku bertolak jam 3 petang menaiki basikal untuk menghantar makanan
kepada Kang Moha dan Kang Domyati (Kang=abang). Gunung Sari ini tidak lah jauh sangat tapi perjalanannya
agak mencabar. Jalan mendaki bukit dan jalan tanah yang berbatu memerlukan aku lebih berhati-hati, supaya
tidak jatuh ke lereng tepi bukit. Walaupun aku bersaiz paling kecil dan ada 4 orang kakak, namun aku yang
dipilih mak sebab katanya aku paling berani dan handal membawa basikal, tidak padan dengan kaki yang
pendek.
Jadi macam biasa aku perlu melalui Kampung Parit Bengkok selama sejam sebelum sampai ke jalan kebun yang
berbukit bukau selama sejam menuju kawasan tani keluarga aku. Kampung pada masa itu masih kurang
penghuni, ayah aku antara orang terawal meneroka kawasan ini, jadi jarak antara rumah juga agak jauh.
Perjalanan biasa mengambil masa dua jam, dan ini antara pengalaman menyeronokkan kerana angin petang
yang melanggar muka dan jalan yang masih terang. Apabila sampai ke kawasan Gunung Sari itu, sudah pastinya
aku tidak terus balik kerana ada satu tasik besar disana, menjadi tempat aku melepas gian untuk memancing
walaupun mak melarang aku untuk memancing kerana kawasan itu ada binatang buas. Pernah sekali aku
ternampak seekor beruang besar di seberang tasik semasa memancing. Memandangkan tasik itu besar seluas
padang bola sepak, aku yakin dia tidak akan dapat mengejarku. Geli hati melihat dan mengejek beruang
walaupun terasa sedikit gerun dihati.
Kayu dahan kubersihkan menjadi joran bersama beberapa ekor cacing yang dibawa siap dari
rumah. ‘Kalau ada rezeki lebih boleh bawa pulang ikan haruan untuk makan malam’ bisik hati. Hari tu,
disebabkan terlalu ralit memancing, aku tidak sedar masa berlalu. “Yati, cepat balik nanti sudah gelap”, laung
Kang Moha.
185