Page 102 - Saujana Pujangga 2022
P. 102

 PROGRAM PEMENTORAN NUS
NILAI SASTERA DALAM KEHIDUPAN SENDIRI
Aida Cempaka Hanif
NJC
Sepanjang tempoh lima bulan, pelajar-pelajar maktab rendah telah diberikan peluang untuk menyertai Program Pementoran. Program pementoran ini telah mendedahkan kami kepada pelajaran sastera di peringkat universiti seperti mahasiwa-mahasiswi NUS. Dengan bimbingan Dr. Azhar Ibrahim Alwee, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura dan ahli akademik yang lain, kami berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti seperti ceramah dan melibatkan diri dalam program Cita Bichara 2022. Pengalaman ini menjadi pencetus kesedaran bahawa sastera adalah lebih daripada sebuah subjek di sekolah. Sastera menjadi dorongan untuk mencari makna dan nilai dalam kehidupan sendiri.
Kandungan ceramah dan mesej yang ingin disampaikan kepada kami membangkitkan minat dan rasa cinta terhadap sastera Melayu. Satu daripadanya ialah ceramah ‘Cita Bichara: Naskah Nusa’ yang mengupas naskhah- naskhah yang jarang dikaji oleh pengkaji sastera seperti ‘Kisah Pelayaran Munshi Muhammad Ibrahim’ atau naskhah ‘Bale Bandoeng’ tentang ilmu sufi yang sering disingkirkan dalam perbincangan akademik. Perspektif-perspektif baharu ini menyedarkan pendengar bahawa sastera Melayu adalah lebih daripada sekadar keindahan kata-kata.
Terkandung di dalam teks-teks sastera ialah sejarah kehidupan dan kebijaksanaan orang Melayu. Melihat sasterawan muda
mengendalikan pentas dengan berani dan berbicara dengan penuh semangat, kami menjadi lebih terdorong untuk menceburi kegiatan yang sama. Kesan menghadiri ceramah sebegitu turut dirasakan dalam ceramah-ceramah lain yang kami hadiri, terutama dalam meluaskan pemikiran pelajar MLEP seperti kami.
Untuk persiapan bagi ‘Cita Bichara 2023’, kami dijemput oleh Dr. Azhar untuk melawat muzium Pingat Budaya (Cultural Medallion). Kami ditugaskan untuk memilih seorang tokoh Melayu daripada penerima Pingat Budaya dalam empat bidang iaitu seni sastera, seni lukis, seni muzik dan seni lakon. Kami ditugaskan untuk mengkaji karya mereka. Pengalaman ini telah membuka minda kami terhadap kehebatan pakar-pakar seni orang Melayu seperti Encik Sarkasi Said, Cikgu Mohamed Latiff Mohamed dan ramai lagi.
Sebagai pengakhir wacana, saya berasa program pementoran ini bukan hanya memperkaya pengalaman pembelajaran sastera kami, malah mengembangkan pemikiran kami menjadi lebih kritis. Pengalaman sebegini tentu sekali memberikan kesan yang mendalam terhadap kami sebagai pelajar di peringkat maktab rendah melalui pendedahan yang cukup meluas kepada dunia sastera dan sekaligus mencetuskan inspirasi dalam diri kami. Jika saya diberikan peluang untuk menyertai program kesusasteraan, saya pasti akan menyertainya tanpa berfikir panjang.
100 Saujana Pujangga 2022
























































































   100   101   102   103   104