Page 134 - Saujana Pujangga 2022
P. 134
CERPEN
DEMI
Nur Hanisah Binte Mohamad Ibrahim
RI
“Keadilan! Kesenangan! Demi Kebaikan!” Kedengaran keriuhan di padang.
Dr. Ilhan hanya mampu melihat kekecohan yang berlaku di bawah. Dia mengeluh sambil mengusap rambutnya yang beruban. Adakah disebabkan perkara-perkara itu sahaja kita wajar memilih jalan yang ini? Tanya Dr. Ilhan dalam hatinya. Namun, tiada jawapan yang menjelma dan dia hanya mampu menggelengkan kepalanya. Pada zaman teknologi yang sudah sebati dengan kehidupan manusia, pengaruhnya telah berakar dalam kehidupan mereka. Perisian AI yang dahulu hanya digunakan dalam bidang penjualan atau sekadar hiburan telah berkembang kepada bidang perubatan, polis dan tentera - menjangkaui apa yang dapat dibayangkan oleh manusia dahulu.
[Peringatan: Dr. ada pertemuan penting pada pukul empat petang. Jam kini menunjukkan pukul 2.45 petang.] Suara seorang gadis kedengaran bukan daripada telefon bimbit mahupun jam tangan namun daripada cermin mata Dr. Ilhan sendiri. Malah, perisian yang terdapat pada cermin matanya dapat mengalahkan sebuah komputer. Sungguh canggih!
Tanpa berlengah, Dr. Ilhan bangun dari mejanya. Diseludup pemacu kilat dalam kocek kotnya. Sepanjang hari itu, dia sudah terkurung dalam bangunan syarikat itu. Namun, setelah meninggalkan bangunan, setiap langkah yang diambil akan pasti ada sepasang mata yang mengekorinya. Mata-mata terpaku pada lencana kot Dr. Ilhan. Jelas tertera,“Jurutera Perisian GovTech”.
“Wah! GovTech!” kata seseorang dengan bisikan yang kuat kerana tidak mampu menahan rasa kagumnya.
“Eh?..GovTech?” tanya temannya di sebelah.
“Ya, kan GovTech syarikat pemerintah yang telah mengeluarkan perisian-perisian yang menakjubkan. Lebih-lebih lagi perisian ‘AIP’ yang telah dikenalkan sepuluh tahun dahulu. Semenjak hari itu, kehidupan kita semua sudah berubah menjadi lebih baik,” jawab teman pertama itu sebelum mereka berdua beredar.
Dr. Ilhan hanya meneruskan perjalanannya. Tidak terlalu jauh dari bangunannya, dia
memasuki kereta hitam tanpa pemandu. Kereta yang tidak berlesen tetapi ada lambang negara itu meluncur pergi dengan bunyi tayar yang menciut.
Jurutera perisian itu turun di hadapan bangunan negara. Dia melangkah masuk dan menuju ke sebuah bilik yang jauh ke dalam bangunan tersebut. Sebaik sahaja dia berhenti di depan pintu, sebuah kamera muncul, menghadapnya.
[...Sistem pengimbas muka... ... *Ding*]
[Nama: Dr. Ilhan Jumain ... Pekerjaan: Jurutera perisian ... Syarikat: GovTech]
“Sila masuk Dr., kami menantikan kehadiran anda,” jawab perisian daripada sistem pengimbasan muka sambil membuka pintu.
Di tengah bilik itu, sebuah hologram sedang berdiri menantikan Dr. Ilhan.
“Ah, kamu sudah sampai Dr. Ilhan,” kata hologram tersebut. Imej tiga dimensi itu menggambarkan imej seorang jejaka dalam umur 30-an dengan pakaiannya yang rapi.
Dr. Ilhan hanya mampu memberikan senyuman yang kecil. Dalam benak mindanya, dia sibuk memikirkan tentang ‘individu’ yang di hadapannya sekarang. Ya, walaupun sudah 10 tahun berlalu, dia masih tidak percaya negaranya sendiri mempunyai AI Artificial Intelligence sebagai seorang Presiden atau lebih dikenali sebagai AIP.
...
Sepuluh tahun yang lepas, GovTech telah mereka sebuah perisian yang mampu menguasai sebarang ilmu dan menggunakannya untuk membuat keputusan yang akan membawa keuntungan yang maksimum sambil mengurangkan risiko dan kerugian. Projek itu hanya bermula sebagai suatu projek untuk melihat kebolehan AI mengatasi manusia. Lama-kelamaan, perisian itu yang dibiarkan untuk menerokai alam maya, telah mampu mengumpulkan lebih banyak maklumat - menangkis maklumat yang salah dan meresap maklumat yang dianggapnya penting bagai garam jatuh ke air.
132 Saujana Pujangga 2022