Page 53 - Saujana Pujangga 2022
P. 53
DIARI
setiap ahli kumpulan. Para pelajar berpuas hati kerana dapat menambah ilmu tentang cara untuk mempersembahkan dan menampilkan diri di atas pentas semasa mendeklamasikan sajak yang dihasilkan oleh kumpulan masing- masing.
Bengkel Pergerakan Silat pula mengajar para pelajar serba sedikit tentang asas pencak silat, iaitu sejenis seni pertahanan diri yang berasal dari Indonesia yang tersebar di Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Singapura. Pelatih silat iaitu Encik Sheikh Harun B Mohd Rafi, menjadi pembimbing bengkel tersebut. Setiap peserta diajar beberapa pergerakan Pencak Silat dan perlu menghafal langkah-langkah gerakan sebelum diuji. Dengan mengambil bahagian dalam bengkel Pergerakan Silat ini, para pelajar juga telah dapat meraih satu pengalaman dan gambaran tentang lakonan filem Melayu yang popular tahun ini, iaitu ‘Mat Kilau’.
Bengkel selanjutnya ialah Bengkel Gendang. Para pelajar MLEP amat beruntung mendapat Encik Muhammad Shahir sebagai pelatih bagi bengkel tersebut. Encik Shahir telah memperkenalkan jenis-jenis gendang dan juga rentak-rentak yang sesuai dimainkan dengan menggunakan gendang-gendang tertentu. Antaranya ialah rentak Asli, Inang, Joget, Zapin dan Masri. Rentak Asli merupakan rentak yang perlahan dan sering digunakan bagi pembukaan persembahan. Rentak Inang pula memiliki tempo yang sederhana dan boleh digunakan untuk tarian. Joget merupakan rentak yang paling cepat berbanding dengan kelima-lima rentak dan sering digunakan dalam majlis perayaan untuk menyerikan suasana majlis. Rentak Zapin pula sangat terkenal dan digunakan oleh penari bagi tarian zapin dan rentaknya hampir sama dengan rentak joget.
Akhir sekali, rentak Masri diperkenalkan. Rentak ini mempunyai asal usul dari Timur Tengah dan lebih unik berbanding dengan rentak yang lain. Setelah mendengar dan mengetahui lebih lanjut tentang lima rentak tarian tersebut, kami diuji oleh Encik Shahir untuk mengenali dan membezakan rentak- rentak tersebut. Pada mulanya, kami tidak dapat mengenal pasti rentak-rentak yang berbeza-beza namun setelah beberapa percubaan, kami tidak kekok lagi dan berjaya mengecam setiap rentak yang dimainkan. Setelah itu, Encik Shahir membenarkan kami untuk bermain gendang-gendang tersebut. Pada masa yang sama, kami mula memirkikan cara untuk menerapkan unsur-unsur gendang dalam pendeklamasian sajak kami.
Setiap kumpulan berpeluang untuk mendeklamasikan sajak masing-masing. Semua kumpulan bertekad untuk memenangi tempat pertama dengan memasukkan elemen-elemen yang telah dipelajari sebelum persembahan mereka. Kesemua kumpulan dapat menikmati dan menonton persembahan hasil daya cipta dan kreativiti masing-masing. Peluang tersebut telah membangkitkan keyakinan dan kebanggaan dalam diri setiap pelajar kerana mereka dapat menghargai nilai budaya Melayu sebenar dalam diri mereka serta dapat menonjolkan kreativiti minda mereka.
Secara keseluruhannya, perkhemahan sastera tersebut memperkukuh ilmu pengetahuan, membangunkan apresiasi dan mengembangkan rasa cinta setiap pelajar terhadap budaya Melayu.
Saujana Pujangga 2022 51