Page 54 - Saujana Pujangga 2022
P. 54
DIARI
BENGKEL PENULISAN
LIRIK LAGU
Nailah Zakirah Asrin,
Karima Nasha Kenchana Suryakenchana,
Syairrah Mohd Rozali, Pearl Insyirah Md Nur Mubbin dan Aida Cempaka Hanif
NJC
Pada 12 Ogos 2022, para Cendekia MLEP-NJC tahun pertama telah menjalankan Bengkel Penulisan Lirik Lagu untuk para pelajar Bahasa Melayu Lanjutan Menengah 4 dari Sekolah Menengah Temasek, Sekolah Menengah Pasir Ris Crest dan Sekolah Menengah Bedok Green. Bengkel selama dua jam setengah itu telah berlangsung di Sanggar Cendekia, iaitu bilik aktiviti MLEP-NJC.
Setelah menjalani proses penulisan lirik lagu selama empat minggu bersama pelatih kami, Encik Mohd Khair Mohd Yasin, kami mahu menyebarkan ilmu baharu ini supaya lebih ramai pelajar dapat meraih kemahiran ini. Tentunya, untuk memuatkan semua yang telah kami pelajari selama empat minggu itu dalam sesi bengkel selama dua jam setengah bukanlah suatu perkara yang mudah. Namun, dengan kerjasama dan persiapan yang menyeluruh, kami telah dapat mengendalikan bengkel ini dengan jayanya. Kami juga berharap agar dengan mengendalikan bengkel ini, kami dapat mempromosikan MLEP-NJC kepada para pelajar dari beberapa sekolah menengah terpilih, iaitu Sekolah Menengah Bedok Green, Sekolah Menengah Pasir Ris Crest dan Sekolah Menengah Temasek.
Bengkel ini merupakan projek besar kami yang pertama sebagai satu kohort dan kami mengambil masa lebih kurang sebulan untuk membuat persiapan yang diperlukan. Pertama sekali, kami membuat draf rancangan pengajaran untuk memastikan kami mempunyai masa yang cukup untuk semua aktiviti yang hendak dijalankan. Kemudian, kami menyediakan slaid kandungan pengajaran pendekatan. Dengan menggunakan lagu ‘Pijak’ nyanyian Zizi Kirana sebagai rujukan, kami berbincang tentang ciri-ciri lagu yang baik
dan penulisan lirik menggunakan Kotak-Kotak Ilham (KKI).
Sewaktu menjalankan bengkel ini, pada mulanya, kami menghadapi cabaran. Para pelajar Sekolah Menengah Temasek, Pasir Ris Crest dan Bedok Green berasa segan untuk menjawab soalan-soalan yang kami kemukakan. Mereka sering sekali berasa keberatan untuk mengangkat tangan dan memberikan pandangan mereka. Kami pula harus berfikir dengan pantas bagaimana untuk mendapatkan pelibatan mereka secara lebih efektif. Kami harus mencari idea cara menarik perhatian mereka supaya mereka akan lebih selesa untuk berinteraksi bersama kami. Melalui pengalaman tersebut, kami bertambah sedar akan cabaran- cabaran yang dihadapi para guru dan betapa sukar tugas mereka sebenarnya. Dengan mengadakan suasana yang selesa dan selamat bagi pelajar-pelajar, mereka lebih yakin untuk menjawab soalan-soalan dan mengutarakan pandangan mereka. Akhirnya, mereka b e r j a y a mempersembahkan lagu-lagu ciptaan mereka selepas kami meluangkan lebih masa bersama-sama.
Setelah merenung kembali cara kami menyampaikan sesi tersebut, kami menyedari bahawa kami mempunyai potensi untuk menjadi guru. Kami berjaya menyampaikan pengajaran dengan bersahaja dan dapat menarik perhatian kesemua pelajar. Bagi sesi- sesi masa hadapan, kami berharap masa yang diberikan lebih panjang agar lebih banyak aktiviti dapat dijalankan. Dengan adanya sesi yang lebih panjang, lebih banyak ilmu dapat dikongsi dan mutu lagu yang dihasilkan oleh para pelajar yang menyertai bengkel juga boleh ditingkatkan.
52 Saujana Pujangga 2022