Page 86 - Saujana Pujangga 2022
P. 86
PROGRAM PENYERAPAN
Contohnya, karya Batas Langit, iaitu teks novel yang kami sendiri pelajari sebagai teks bacaan wajib untuk subjek Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan tajuk Confrontation. Malah, buku kanak-kanak bertajuk Cef Cilik juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Cina! Kami menjadi lebih sedar bahawa usaha menterjemahkan karya dalam bahasa asal ke dalam bahasa lain sebenarnya begitu rancak, sekaligus menjadi petanda akan kepentingan bidang penterjemahan itu sendiri.
Latihan seterusnya sungguh menarik kerana kami perlu menterjemahkan korus lagu My UniversenyanyiankumpulanColdplaydanBTS. Kami diajar untuk mempertimbangkan makna, melodi lagu dan laras lirik lagu. Sesi latihan menjadi bertambah seronok apabila rakan kami, Rakinah, menyanyikan bahagian korus lagu tersebut dalam bahasa terjemahannya!
Kami juga telah mempelajari beberapa teknik menterjemah iaitu Peminjaman, Pinjam Terjemah, Persamaan, Kembang Hurai, Pengurangan, Penyeluruhan, Adaptasi, Modulasi dan Transposisi. Tambahan pula, kami diperkenalkan kepada strategi Pendomestikan atau Pengasingan. Kami dapat mengenal pasti pendomestikan dalam konteks budaya kontemporari melalui contoh lagu “Hwa” yang dinyanyikan oleh penyanyi rap Korea Selatan, CL.
Dalam penterjemahan kaya sastera pula, Puan Nur-El-Hudaa Jaffar menerangkan bahawa adalah lebih penting untuk mengekalkan isi dan bentuk karya tersebut. Reaksi pembaca penerima mestilah sama dengan pembaca asal. Bukan itu sahaja, kesan emosi dan psikologi juga perlu sama. Justeru, seorang penterjemah sastera perlu tahu siapa pembaca sasaran dan tujuan terjemahan kerana dia akan berhadapan dengan pelbagai pilihan seperti teknik terjemahan dan Pendomestikan atau Pengasingan. Teman baik penterjemah merupakan kamus, tesaurus, glosari dan mesin terjemahan. Namun, kami dinasihati oleh Puan Nur-El-Hudaa Jaffar supaya berhati-hati dengan mesin terjemahan – sebaik-baiknya kami perlu berikan ayat penuh atau frasa agar penterjemahan yang tepat dapat dilakukan mengikut konteks yang diberikan.
Selain itu, kami turut berpeluang menterjemahkan pantun dari bahasa Melayu ke dalam bahasa Inggeris. Hal ini merupakan sesuatu yang baharu bagi diri saya dan saya sangat teruja kerana saya dapat berkongsi dan bertukar-tukar idea bersama rakan-rakan saya dalam proses menterjemahkan pantun tersebut.
Bengkel diakhiri dengan latihan secara berkumpulan, iaitu aktiviti menterjemahkan teks Wan Kenit oleh Matlob.
84 Saujana Pujangga 2022