Page 10 - e-majalah
P. 10
LANGKAH -LANGKAH
AMALAN GAYA HIDUP SIHAT
T indakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan bentuk pemakanan satu yang
seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih
suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan
makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakat kita hari ini
yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai
kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan
pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang
juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi
amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat
membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai
kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh
menerusi pemakanan yang seimbang. Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu
menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita
boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari
bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman
seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah
manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang
gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding
dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka
semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya
daripada badan yang cergas. Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri
pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit.
Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat
yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan
kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri
dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan
bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar
tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atautempat makan
yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa
masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa
padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat
membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.