Page 12 - tmp_Neat
P. 12
Belanjawan 2021 penting untuk kelancaran pendidikan
Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 penting buat sektor pendidikan agar segala perancangan dan
hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) untuk tahun hadapan, tidak terjejas.
Dalam belanjawan kali ini, sektor pendidikan terus menerima peruntukan terbesar iaitu
RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan yang
merangkumi aspek kesihatan pelajar di sekolah,baik pulih infrastruktur,kemudahan
pembelajaran serta pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan
pendidikan khas.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan(NUTP) Aminuddin Awang berkata,
sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, ia akan mengganggu kelancaran dan momentum
perjalanan sistem pendidikan negara.
Menurutnya, terdapat pelbagai perancangan yang boleh ditambah baik bagi memperkasakan
sektor pendidikan khas,antaranya meningkatkan lagi kemahiran Bahasa Isyarat Malaysia(BIM)
dalam kalangan guru pendidikan khas, merapatkan jurang digital dan penambahbaikan TV
Pendidikan dengan khidmat jurubahasa BIM yang bertauliah.