Page 21 - BUKU PROGRAM SEMINAR SPESIFIKASI PIAWAI JKR KERJA GEOTEKNIK
P. 21

APLIKASI KAEDAH GEOFIZIK DALAM ASPEK GEOLOGI
                                  KEJURUTERAAN

       ABSTRAK


       Kaedah  geofizik  merupakan  satu  kaedah  yang  digunakan  untuk  mengkaji,
       memeta  dan  menyiasat  keadaan  bawah  tanah  dengan  menggunakan
       peralatan-peralatan elektrik-elektronik tertentu. Kaedah ini telah digunakan
       secara  meluas  di  dalam  eksplorasi  air  bawah  tanah,  eksplorasi  mineral,
       eksplorasi minyak dan gas, bencana geologi, survei kejuruteraan dan lain-lain
       lagi.  Kaedah  geofizik  ini  terdiri  daripada  pelbagai  jenis  survei  yang
       menggunakan  peralatan-peralatan  yang  tertentu  dan  konsep  survei  yang
       berbeza-beza. Survei yang sesuai diaplikasikan di dalam geologi kejuruteraan
       antaranya adalah survei keberintangan 2D dan pengkutuban teraruh, survei
       seismik, survei graviti/mikrograviti, survei magnetik dan lain-lain lagi. Konsep
       survei  keberintangan  2D  dan  pengkutuban  teraruh  adalah  mengesan  nilai
       keberintangan  dan  kebolehcasan  bahan  bawah  tanah  dengan  membuat
       pengukuran  di  atas  permukaan  tanah.  Survei  ini  telah  banyak  digunakan
       dalam siasatan tanah mendap dan tanah runtuh. Konsep survei seismik pula
       melibatkan  penentuan  selang  masa  antara  permulaan  gelombang  seismik
       pada  titik  pukulan  yang  dipilih  dan  ketibaan  gelombang  yang  dipantulkan
       atau dibiaskan pada satu atau lebih pengesan gelombang seismik. Kaedah ini
       digunakan secara meluaskan di dalam sektor carigali minyak dan gas, namun
       kaedah ini juga boleh digunakan di dalam kajian tanah runtuh dan pemetaan
       terrain.  Seterusnya  survei  graviti  boleh  dibahagikan  kepada  survei
       mikrograviti dan survei graviti rantau.

       Konsep  survei  ini  adalah  berkait  rapat  dengan  perubahan  ketumpatan
       batuan. Survei mikrograviti dijalankan bagi pemetaan topografi, pengesanan
       kaviti dan lubang benam, pemetaan terowong bawah tanah dan lain-lain lagi.
       Manakala  survei  graviti  rantau  pula  dijalankan  bagi  pemetaan  sesar,
       lembangan,  kubah  garam  dan  sempadan  batuan  dan  litologi.  Selain  itu,
       survei  magnetik  juga  boleh  digunakan  bagi  pemetaan  batuan,  mengesan
       bahan-bahan  tinggalan  lama  dan  objek-objek  tertanam  serta  lain-lain  lagi.
       Konsep  survei  ini  adalah  berdasarkan  anomali  pada  medan  magnet  bumi
       yang  terhasil  daripada  sifat-sifat  magnetik  batuan.  Survei  –  survei  geofizik
       yang  dinyatakan  ini  merupakan  survei  yang  paling  banyak  diaplikasikan  di
       dalam aspek geologi kejuruteraan kerana kos dan masa yang efektif dalam
       mendapatkan maklumat sub-permukaaan sesuatu kawasan.


      20 KERTAS TEKNIKAL
   16   17   18   19   20   21   22   23   24   25   26