Page 124 - Jauhari Pantun
P. 124
548 Pohon pinang tegak bersilih,
Gugur berbekas kulit berkerat;
Bahasa meminang bertepak sirih,
Santun terlafaz di hujung akad.
549 Mawar layu di hujung desa,
Petik dihimpun di malam renggam;
Bahasa Melayu menyatu bangsa,
Bagai serumpun padi digenggam.
550 Riak beralun air di kuala,
Rupanya tenggiri berenang-renang;
Bahasamu susun semanis gula,
Tersenyum sendiri tatkala mengenang.
551 Hujung selat berjaja rotan,
Rotan dikerat wira perkasa;
Teguhnya daulat kerana sultan,
Teguh muafakat kerana bahasa.
552 Tanam lada di tepi jejawi,
Tumbuh melata bersisih laman;
Bahasa ibunda bahasa pertiwi,
Moga terbela ke akhir zaman
553 Cantik sungguh kebarung biru,
Sekali terpandang hati tertambat;
Rakyat teguh Malaysia baharu,
Bahasa kebangsaan kekal dimartabat.
108