Page 103 - SP2021
P. 103

  Bukan Lemah
Nur Hanisah Binte Mohamad Ibrahim
“Anak saya bukan lemah! Anak saya kuat! Kuattt!” Teriak wanita bertudung itu di hadapan wanita-wanita lain.
Mereka semua tergamam. Wanita bertudung itu serik mendengar bisikan-bisikan yang terlalu lama dibiarkan. Golongan yang digelar ‘mak cik-mak cik bawang’ tidak segan silu mengherdik buah hatinya. Sanggup mereka menghamburkan kata- kata keji di tempat ibadah. Adakah mereka tahu keperitan yang telah dilaluinya sekarang? Wanita bertudung itu hanya dapat menjegil ke arah mereka. Matanya berair lalu meninggalkan masjid.
“Assalamualaikum,Nora?”
Senyap. Ruang tamu itu sejuk dan sepi. Makanan yang telah dihidangkan di atas meja belum disentuh. Rosiah hanya dapat mengeluh. Dia berjalan ke arah pintu berwarna merah jambu.
Tok, tok, tok!
“Nora...Nora...”
Rosiah meletakkan telinganya di pintu. Terdengar esakan perlahan yang datang dari kamar itu. Rosiah merayu sekali lagi supaya anaknya keluar dari kamar. Namun, pintu masih berkunci.
Semenjak memasuki sekolah menengah, Nora yang dahulunya ceria bagaikan bunga matahari, kini menjadi layu. Dia sering berkurung di bilik tidur. Setibanya waktu malam, barulah Nora keluar dari biliknya untuk menjamah makanan yang terhidang di dapur. Jika ditanya tentang harinya di sekolah, Nora hanya akan menjawab, “Semuanya seperti biasa sahaja.”
Lama-kelamaan, perubahan Nora menjadi semakin ketara. Solat ditinggalkan. Makanannya tidak pernah dihabiskan. Rosiah tidak tahu apa yang perlu dilakukannya lagi. Tanpa Nora yang dahulu, hidup Rosiah kosong. Dia sudah kehilangan seorang suami.
Dia tidak ingin kehilangan anak tunggalnya juga. Rosiah tidak pernah putus berdoa setiap waktu agar anaknya kembali seperti sediakala. Bagi Rosiah, Nora hanya memerlukan
ruang sendiri.
Tiba-tiba, terdengar jeritan dari kamar Nora. Jeritan berdesing itu membuatkan Rosiah bergegas ke bilik Nora. Jantung Rosiah mula berdegup dengan kencang. Mindanya mula berkecamuk memikirkan apa yang telah berlaku di sebalik pintu tersebut. Perutnya terasa seperti dibelit. Rosiah mencapai kunci di bilik tidurnya. Dia segera membuka pintu merah jambu itu.
“Nora!” Rosiah menekup mulutnya.
Lengan dan kaki Nora dipenuhi calar-calar yang bertetesan darah. Rosiah berlari ke arah Nora lalu mendakapnya. Suara tangisan Nora yang penuh kepedihan menusuk hati Rosiah. Mata Rosiah berkaca. Jaket yang selalu disarung oleh Nora untuk ke sekolah kini tidak boleh menyembunyikan kecederaan yang dialaminya.
Pada saat itu, Rosiah sedar betapa teruknya keadaan Nora. Penyakit puterinya tidak boleh sembuh dengan doa sahaja. Sebahagian daripada diri Rosiah tidak mahu mengaku kebenaran yang terpampang di depan matanya. Perasaan yang tidak dapat digambarkan mula menyelubungi sanubari Rosiah. Malam itu, Rosiah mahu berada di sisi Nora. Rosiah terus memeluk Nora erat hingga anaknya terlelap dalam pelukan ibu tersayang.
“Banyak perkara dalam fikiran... semakin hari semakin bertambah,” gumam Nora.
“Bagaimanakah pula dengan perasaan dalam diri awak?” tanya doktor psikiatri dengan nada yang tenang.
“Setiap kali saya bangun, semuanya kelihatan hitam,” jawab Nora, matanya terpaku ke lantai.
Rosiah cuba sedaya upaya untuk menahan titisan air matanya daripada mengalir. Perasaan kesal mula menyelubungi Rosiah. Tenaganya, tidurnya, selera makan, tumpuan dan ingatan anaknya semua terjejas disebabkan penyakit mental itu. Nora merasakan seolah-olah dalam dunia ini, dia keseorangan dan tiada siapa dapat menyelamatkannya daripada kesesakan
hidup.
“Bagaimanakah pula dengan perkara- perkara yang biasa kamu lakukan?
 RI • SAUJANA PUJANGGA 2021 101











































































   101   102   103   104   105