Page 106 - SP2021
P. 106
LA REBELLE FLEUR
“Kenapa, Mak?” jawab Rose sambil melahap daging sapi. Kakinya terbuka lebar ketika duduk di atas kerusi. Rose kelihatan begitu selesa
duduk begitu.
“Mak faham Perancis memiliki budaya yang berbeza dengan orang kita. Gaya hidup mereka lebih moden. Walaupun begitu, kamu tidak sepatutnya membawa pulang cara hidup sana ke sini... dalam keluarga ini. Satu lagi, jual semua aksesori berlebihan ini. Di mana hijab kamu? Tutuplah aurat dengan sempurna. Inilah nilai-nilai murni Muslim yang harus kita jaga.”
Rose mengetap bibirnya lalu menjeling ke tepi. Gerak balasnya penuh ketaksaan.
“Mak berkata sedemikian untuk kebaikanmu juga. Mak sendiri sahaja membesarkan kamu bagai menatang minyak yang penuh. Dengar, ya...”
“Okey, Mak,” Rose memotong ayat-ayat itu.
“Nah, baju kurung ini sudah Mak siapkan untuk kamu pakai esok. Esok pagi, bantu Mak jaga kedai bunga kita, ya. Ada pesanan gubahan bunga yang perlu kamu hantar. Mak sudah siapkan semuanya. Mak nak ke pasar.”
Ayat-ayatku tidak ada jedanya.
“Mungkin Rose boleh mereka sarong yang ada corak Perancis. Mak boleh jadi pelanggan pertama kamu. Barang-barang tidak senonoh itu, biar Mak yang uruskan.”
“Mak, saya masuk ke dalam bilik, ya. Letih belum hilang lagi,” Rose meminta izin. Aku mengangguk sambil melihat pinggannya yang masih berbaki makanan.
“Helo, Puan Aisah. Mana gubahan yang saya pesan semalam? Dari jam 11:00 pagi saya tunggu. Sekarang sudah jam 12:00 tengah hari! Pernikahan anak saya bermula jam 12.30 nanti!” Suara Puan Halimah begitu resah di hujung talian.
“Rose belum lagi hantar jambangan bunga yang Puan Halimah pesan? Maafkan saya, ya? Saya akan uruskan segera.”
Di bilik, duduk gubahan bunga yang sepatutnya sudah berada di meja penyambut tamu pelanggannya masih belum dihantar oleh Rose.
Kelihatan pasu yang dihiasi bunga-bunga gardenia dan lavender kekal di atas meja. Aku mengambil pasu itu lalu mencari Rose. Kemudian, terdengar bisikan suara di balik pintu stor yang menyimpan stok kedai.
“Naimi sayang, awak bagaimana hari ini? Dah makan ke belum? Saya baru sahaja makan nasi lemak. Ada perusahaan bersedia menerima saya dalam latihan amali. Saya amat merindukan awak. Jika semua berjalan dengan lancar, saya boleh mengunjungi awak dua bulan lagi! Maafkan saya kerana tidak menjaga kalung yang awak hadiahkan dengan baik. Mak tidak membenarkan saya menyimpannya. Sejak balik ke sini semalam, Mak tidak setuju dengan penampilan luaran saya. Dia kata, saya sudah berubah.”
Pasu yang digenggam berkecai di lantai. Benarkah apa yang aku dengar tadi? Bukankah Naimi itu nama wanita? Apa lagi yang disembunyikan daripadaku? Bunga gardenia dan lavender yang sebelumnya diatur cantik sudah berselerakan. Sama seperti mindaku yang bercelaru. Pintu yang tertutup itu dibuka. Rose terperanjat melihatku tercegat di depan pintu.
“Mak!”
Aku memandang anak gadisku. Di manakah kepercayaan yang aku berikan kepadanya? Rose tidak menjalani kehidupan seperti dahulu. Dia sudah melampaui batas!
“Mak, saya minta maaf. Saya tidak bermaksud untuk melukakan hati Mak. Saya tahu Mak tidak akan menerima perubahan saya sekarang. Tetapi, inilah jati diri saya sejak berada di Perancis,” suara Rose tersekat-sekat.
“Ini yang kamu katakan jati diri? Keluar!”
“Mak,” jawab Rose tersedu-sedu, “dengarkan penjelasan saya.”
Aku bergegas masuk ke tandas kedai lalu mengunci pintu. Apakah yang harus aku lakukan sekarang? Aku tidak dapat menerimanya. Kehidupanku seperti diputarbalikkan. Aku melihat refleksiku di cermin. Aku gagal menjadi ibu yang baik kepada anak gadisku. Anakku telah berubah kerana aku membiarkannya pergi. Dengan pertanyaan- pertanyaan yang bertalu-talu di minda, aku cuba mencari jawapannya.
Entah berapa lama aku mengurungkan diri. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum keluar semula. Terdengar suara enjin kereta. Rose sudah tiada di dalam kedai. Aku melihat lantai yang bersepah sudah dibersihkan. Ada susunan bunga- bunga heliotrop dan mawar yang diletakkan oleh kelibat gadis manisku di atas meja ruang utama. Hatiku bagai dicucuk belati.
Ya Allah, berilah aku kekuatan. Suatu hari nanti, dia akan menghargai tindakanku ini. Aku tidak akan berputus asa dan mengembalikan Rose yang dahulu.
104 CERPEN • RI