Page 109 - SP2021
P. 109
Bangkit
El’yez Mu’arif
“Kita telah dikhianati Haron! Tak ada masa lagi untuk kita melanjutkan rancangan. Kembali ke kem sekarang!”
Kolonel Abdullah mengarahkan platunnya untuk mengabaikan segala operasi yang telah dirancang. Ketaatan telah hilang.
Kelihatan tentera Imperialis telah menghampiri ke arah Palais. Hal ini tidak pernah difikirkan askar- askar yang bersama Kolonel Abdullah walau sejenak pun.
BOOM!
Letupan demi letupan kedengaran di kaki Bukit Mahardhikka.
Pintu gerbang telah melayang entah ke mana dengan letusan meriam tentera Imperialis yang berjaya memasuki pekarangan Palais. Dengan segera, musuh yang dibenci itu menerjah masuk untuk merampas kembali tampuk kuasa pemerintahan mereka.
Salah satu daripada kumpulan penentang telah mengkhianati tuntutan untuk membebaskan mereka daripada cengkaman kerajaan Empayar yang kejam terhadap para penduduk.
Hampir mereka berjaya menentang kerajaan Empayar tetapi rancangan Kolonel Abdullah telah gagal dilaksanakan dengan kembalinya tentera Imperialis ke bandar utama. Ramai dalam kalangan penentang kerajaan Empayar telah mati demi perjuangan kebebasan. Sudah sekian lama Kolonel Abdullah merancangkan rampasan kuasa, bagi menumbangkan kerajaan Empayar selama lima tahun, yang telah meranapkan segala norma sebelum kejatuhan pemerintahan Republik lama.
“Kolonel, apakah yang patut kita lakukan sekarang?”
Askar-askar bersama Kolonel Abdullah telah berasa gelisah dengan perkembangan yang terbentang di hadapan mereka. Dengan hati yang berat, Kolonel Abdullah meninggalkan kemnya dengan mengarah askar-askarnya untuk mempertahankan segala yang patut dipertahankan, demi perjuangan mereka menentang kezaliman. Dia mara ke lereng
Bukit Mahardhikka untuk mencari askar-askar yang bersama Kapten Haron, yang sebentar tadi di dalam Palais, untuk menghitung jumlah korban.
Kedengaran langkah kaki yang menghampirinya dengan laju. Dia berasa lega apabila mengetahui bahawa askar-askar di bawah arahannya selamat melarikan diri untuk kembali ke kem.
Malangnya, askar-askarnya telah terjerat di kaki bukit dengan perangkap sangkar. Setibanya ‘askar-askarnya’, dia dikelilingi tentera Imperialis kerajaan Empayar dengan senapang yang menunjuk ke arahnya. Dengan keadaan terdesak, dia mengeluarkan pedangnya dan menikam seberapa banyak tentera musuh, sebelum mereka melepaskan beberapa das tembakan.
Salah satu peluru timah yang panas itu menusuk tubuh Kolonel Abdullah dan dia rebah ke tanah dengan serta-merta. Fikirannya menerawang.
Di saat-saat akhir, dia terkenang kembali masa lampaunya...
“Kolonel Abdullah! Selamat tiba ke Majlis Dewan!”
Ucapan sejahtera oleh kerabat diraja untuk menyambut kedatangan Kolonel Abdullah ke ruang terbesar di Palais, setelah penubuhan kerajaan Empayar diadakan untuk menggantikan Republik lama. Inilah kali pertama Kolonel Abdullah dijemput ke dalam Palais yang dibina oleh kerajaan Empayar sebagai markas pusat bagi kesemua urusan pentadbiran dan markas tentera mereka yang digelar tentera Imperialis.
Perubahan ini merupakan detik kesedaran Kolonel Abdullah, seorang tentera yang taat kepada Republik lama. Dia telah dijemput untuk mengangkat sumpah demi mempertahankan Empayar yang baru sahaja ditubuhkan, tanpa kerelaan hatinya. Hatinya berbelah bagi untuk meneruskan perkhidmatannya sebagai seorang kolonel ataupun meletakkan jawatannya demi mempertahankan kepercayaannya yang kerajaan Empayar tidak boleh ditaati.
Dendangan lagu Sudirman bermain dalam fikirannya.
TMJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 107