Page 125 - SP2021
P. 125
ULASAN FILEM
Persahabatan ‘Ali &
Ratu-Ratu Queens’
Menjadi Pengajaran
Zulhaira Nafira Binte Ra’afie
Filem ‘Ali & Ratu-Ratu Queens’
telah menarik perhatian ramai
peminat remaja Melayu kerana
dibintangi oleh penyanyi serta
pelakon idola ramai remaja, iaitu
Iqbaal Dhiafakhri. Mentelah
lagi, filem ini diarahkan oleh
Lucky Kuswandi, seorang
pengarah yang dikenali kerana
telah menggunakan filem-filem
sebagai cara menyerlahkan isu
sosial waktu dahulu dan juga
kini. Isu-isu yang diketengahkan
menarik perhatian saya kerana
saya dapat mengaitkan filem ini
dengan dunia moden masa kini. Iqbaal Dhiafakhri telah memainkan watak sebagai Ali dan watak- watak pembantu pula dimainkan oleh Nirina Zubir sebagai Party, Asri Welas sebagai Biyah, Tika Panggabean sebagai Ance dan Happy Salma sebagai Chinta.
Secara ringkasnya, filem ini menceritakan seorang remaja yang terpisah daripada ibunya sejak kecil. Setelah ayahnya meninggal dunia, dia terjumpa surat-surat yang ditulis oleh ibunya dan bertekad untuk bertemu dengan ibunya yang berada di New York. Semasa dia ke rumah lama ibunya yang terletak di bandar Queens, dia bertemu empat orang wanita Indonesia dengan latar belakang berbeza-beza dan perwatakan masing-masing yang unik. Mereka menggelarkan diri mereka ‘Ratu-ratu Queens’. Mereka menawarkan pertolongan untuk mencari ibu Ali dan tanpa diduga, hubungan mereka menjadi rapat.
Filem ini menerangkan bagaimana keadaan hidup ataupun latar belakang mempunyai kaitan dengan watak-watak yang dipaparkan. Filem ini menggambarkan ragam watak-watak wanita yang kuat. Setiap wanita dalam filem ini berdepan dengan kehidupan yang sukar seperti watak seorang ibu yang harus memilih antara impiannya dan keluarganya serta watak perempuan yang pernah ditipu agen hingga kehilangan wang ratusan juta rupiah. Namun, hal-hal ini tidak membuat mereka terus mengeluh dalam kesusahan malah mereka menjadi lebih kuat dan saling menyayangi satu sama lain. Situasi hidup yang dihadapi mereka membuat mereka bersatu dan mempunyai persahabatan yang mesra dan saling memahami. Oleh itu, mereka rela membantu Ali yang ingin mencari ibunya. Lama-kelamaan, mereka juga menyayangi Ali seperti sebahagian daripada kumpulan mereka.
TMJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 123