Page 126 - SP2021
P. 126
Watak Ali juga menarik perhatian saya kerana filem ini berhasil menyerlahkan kesungguhan seorang remaja untuk mengejar hasrat dalam hidupnya. Setelah Ali membaca surat-surat ibunya, dia memberitahu saudara-saudaranya bahawa dia ingin berjumpa dengan ibunya. Walaupun awalnya dia tidak diizinkan pergi sendirian ke kota New York, dia tetap mencuba untuk mendapatkan izin ibu saudaranya untuk membenarkannya ke sana. Setelah sampai di New York, dia tidak membuang masa untuk ke tempat tinggal ibunya namun ibunya telah berpindah. Untungnya, ‘Ratu- ratu Queens’ rela menolongnya dan mendapatkan informasi tentang tempat tinggal ibunya. Ali pergi berjumpa dengan ibunya tetapi diusir. Namun, Ali tidak berputus asa dan
tetap mendekati ibunya sehingga dia berhasil. Wataknya juga menonjolkan bagaimana orang muda yang pendiam dapat berinteraksi bersama orang-orang yang lebih dewasa daripadanya dan mempunyai kerenah yang seringkali mengundang kekecohan.
Watak-watak yang dipaparkan amat realistik kerana penonton filem
ini dapat mengaitkan diri mereka dengan watak-watak tersebut. Watak-watak di dalam filem ini menunjukkan persahabatan yang mesra dan nilai-nilai yang ada dalam diri seseorang. Walaupun berdepan dengan masalah, mereka tetap teguh mengatasi masalah tersebut. Watak Ali berjaya menunjukkan bagaimana orang muda kini dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan mampu merapatkan jurang antara dirinya dengan orang yang lebih tua.
Namun, perkara yang amat saya gemari dalam filem ini ialah isu- isu yang dikemukakan. Isu yang paling ketara dalam filem ini ialah kekeluargaan. Ali telah terpisah daripada ibunya dan setelah kehilangan ayahnya, dia ingin dirinya dan ibunya tinggal bersama seperti satu keluarga. Ini menunjukkan keinginan Ali
untuk membina keluarganya bersama ibunya. Namun, keinginannya tidak dapat dicapai kerana ibunya sudah mempunyai keluarga yang baharu dan ibunya berasa amat gembira dengan kehidupannya sekarang. Hubungannya dengan Ratu-ratu Queens juga seperti keluarga. Walaupun mereka berkonflik, mereka mudah memaafi dan mereka saling menerima kekurangan masing- masing. Ternyata, filem ‘Ali & Ratu Ratu Queens’ juga mengajarkan saya bahawa keluarga tidak semestinya orang yang mempunyai pertalian darah dengan kita tetapi juga orang-orang yang selalu menyokong dan menyayangi kita.
Selain itu, isu persahabatan juga menarik perhatian saya. Empat orang wanita yang menjalani hidup yang berbeza bersatu dan bergantung pada satu sama lain untuk meneruskan hidup mereka. Dalam kumpulan tersebut, saya dapat melihat perempuan yang mempunyai kelembutan dalam setiap tutur bahasanya, perempuan yang akan melindungi orang lain walaupun dia harus meninggikan
suaranya, perempuan yang seronok dengan hidupnya dan juga perempuan yang lucu, dapat membina persahabatan yang sihat.
Mereka masing-masing menjadi tempat bersandar dan saling membantu. Walaupun dengan perwatakan yang berbeza, mereka dapat bergaul dengan baik. Perwatakan mereka tidak menjadi hambatan
pada persahabatan mereka.
Oleh itu, kededua isu yang diwujudkan dapat menyentuh hati penonton kerana setiap penonton telah mengalami peristiwa seperti di dalam filem ini yang mengetengahkan bahawa keluarga dan persahabatan amat penting dalam hidup seseorang walaupun dalam perjalanan tersebut kita mempunyai cabaran. Akhir kata, filem ini boleh menghiburkan sesiapa yang mahu menonton filem yang realistik kerana filem ini berjaya membawa mesej universal tentang kekeluargaan dan persahabatan menerusi watak-
watak yang dipaparkan.
124 ULASAN • TMJC