Page 152 - SP2021
P. 152

 Belia, Bahasa dan Identiti
Rancangan DETIK (episod 9) bertajuk Belia, Bahasa dan Identiti yang telah ditayangkan di saluran Suria baru-baru ini telah mengetengahkan isu penggunaan bahasa Melayu yang semakin merosot dalam kalangan masyarakat Melayu. Adakah kita akan membiarkan bahasa ibunda kita terus lenyap ditelan zaman?
  Eliyah Batrisyiah Binte Rayni
Penting Untuk Menguasai Lebih Daripada Dua Bahasa
 Bahasa Melayu, bahasa kita. Mengapakah kita sendiri yang mengabaikannya? Bahasa dan budaya merupakan sebahagian daripada identiti kita. Jadi mengapakah kita sanggup melihat bahasa Melayu hampir mengalami nasib yang serupa dengan bahasa Sanskrit yang telah lama mati? Dengan kadar penggunaan bahasa Melayu di rumah yang semakin merosot, jelaslah bahawa lebih banyak usaha harus dijalankan untuk memastikan bahasa kita yang indah ini dapat dikekalkan untuk manfaat generasi hari muka. Menurut banci yang telah dijalankan tahun lalu, penggunaan bahasa Melayu di rumah telah jatuh ke paras 60.7% pada tahun 2020 berbanding dengan 80.7% pada tahun 2010. Penurunan yang membimbangkan ini berlaku kerana generasi masa kini kurang didorong untuk menggunakan bahasa Melayu.
Hal ini berlaku mungkin kerana di Singapura, ramai ibu bapa mahu anak-anak mereka fasih dalam bahasa Inggeris. Ibu bapa sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk mendaftarkan anak-anak mereka dalam kelas-kelas pengayaan fonik bahasa Inggeris seawal usia tiga tahun. Sayangnya, golongan ibu bapa ini jugalah yang rata-ratanya berpendapat bahawa kecekapan berbahasa Melayu tidak sepenting kecekapan berbahasa Inggeris. Mereka sebenarnya gagal menyedari bahawa kemahiran berdwibahasa sangat dititikberatkan pada zaman kini, terutamanya di negara majmuk seperti Singapura. Jadi, jika ibu bapa sendiri tidak mendedahkan anak-anak mereka kepada bahasa Melayu sejak kecil, bagaimanakah anak-anak akan menggunakan bahasa dan menghargai budaya Melayu kelak?
Sebagai seorang pelajar Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP), saya berpendapat bahawa kita perlu menggalas tanggungjawab untuk melestarikan bahasa dan budaya Melayu. Jika generasi muda enggan menggunakan dan mengekalkan bahasa dan budaya Melayu, bagaimanakah generasi masa hadapan dapat menikmati keindahannya? Oleh demikian, pada pendapat saya, dalam masyarakat berbilang bangsa seperti di Singapura, kita perlu meningkatkan usaha untuk menggalakkan kedwibahasaan. Namun, usaha murni ini hanya akan membuahkan hasil jika suatu anjakan paradigma berlaku dalam masyarakat Melayu sendiri dengan kita menyedari dan pentingnya menguasai lebih daripada satu bahasa. Usahlah kita sibuk ‘speaking London’ tetapi lidah kita kelu tatkala bertutur dalam bahasa Melayu!
150 FORUM • NJC



























































































   150   151   152   153   154