Page 154 - SP2021
P. 154

   Raditya Secondatama
Bahasa Melayu Bahasa Dinamik
 Adakah kita akan berpeluk tubuh sahaja dan membiarkan bahasa Melayu di Singapura menerima nasib malang seperti bahasa Sanskrit yang telah menemui ajalnya? Tentu ada suara-suara lantang yang akan melaungkan, “TIDAK!” Namun, sejak akhir-akhir ini, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada terhakisnya bahasa Melayu di Singapura. Antaranya arus globalisasi, perkahwinan silang budaya dan pengaruh media sosial. Faktor-faktor itulah yang telah menyebabkan ramai antara kita menjadi buta akan peri pentingnya meneruskan amalan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kita. Justeru itu, usahlah kita berputus asa atau bersikap acuh tidak acuh.
Usaha untuk melestarikan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura perlu bermula daripada kita, golongan remaja. Kedinamikan bahasa itu sendiri sepatutnya membolehkan suatu bahasa untuk terus berkembang dan tidak pupus. Oleh sebab ini, pada hemat saya, penting bagi pihak berwenang untuk menambah kosa kata bahasa Melayu, terutamanya dengan kemasukan kosa kata bahasa Inggeris yang telah di-Melayukan yang sering diguna pakai oleh masyarakat Melayu sekarang. Contohnya, dalam bidang pendidikan, kesihatan dan perdagangan. Dengan cara ini, bertutur dalam bahasa Melayu akan menjadi suatu kelaziman bagi masyarakat Melayu, terutamanya generasi masa kini. Cara ini juga akan meningkatkan tahap kesediaan dan kefasihan masyarakat Melayu untuk bertutur dalam bahasa ibunda kita sendiri.
Lantas, masyarakat Melayu secara amnya akan dapat melihat nilai bertutur dalam bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Bak kata pepatah, “Takkan Melayu hilang di dunia”, bahasa Melayu harus terus dilestarikan agar ia tidak pupus ditelan zaman. Kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah itu harus dijunjung oleh semua orang Melayu. Janganlah kita sekadar menjadi orang Melayu yang Melayunya hanya tertera sebagai kaum di kad pengenalan sahaja tetapi tergagap-gagap setiap kali bertutur dalam bahasa Melayu. Betapa moden pun kita, betapa fasih pun bahasa Inggeris kita, kita harus menyedari hakikat bahawa sebagai orang Melayu, di celah-celah gigi kita tetap terselit cebisan belacan!
152 FORUM • NJC





























































































   152   153   154   155   156