Page 153 - SP2021
P. 153
Raudhah Binte Muhammad Ilyasa
Pupuk Kecintaan Bahasa Melayu Dari Kecil
Bahasa Melayu membentuk sebahagian besar jati diri kita sebagai orang Melayu. Malangnya, pada zaman ini, ramai orang Melayu tidak menghargai bahasa Melayu atau tidak sedar akan kepentingan bahasa ibunda kita. Tidak kurang juga orang Melayu yang lebih mengutamakan kemahiran berbahasa Inggeris dan meminggirkan kepentingan berbahasa Melayu. Pemikiran sempit orang Melayu kini menjejas kehidupan kita. Sebagai contoh, dalam mendidik anak-anak, ada golongan ibu bapa yang berasa amat bangga jika anak- anak mereka hanya fasih dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa Melayu.
Ada juga ibu bapa yang menganggap bahawa bahasa Melayu merupakan suatu mata pelajaran yang mudah lulus atau sekadar lulus sahaja sudah memadai jika dibandingkan dengan subjek-subjek lain. Mereka sanggup mengeluarkan belanja besar bagi kelas-kelas tuisyen anak-anak mereka untuk memastikan anak-anak itu mendapat gred yang paling tinggi. Sebagai seorang pelajar Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP), saya dapat melihat kaitan rapat antara bahasa dengan budaya dan sejarah kita sebagai orang Melayu. Bahasa Melayu akan luput ditelan zaman jika kita tidak berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan bahasa kita ini yang semakin kurang digunakan dalam kalangan masyarakat kita.
Pada pendapat saya, langkah pertama yang perlu diambil adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bahasa ini dahulu supaya kita dapat menanam rasa cinta dalam jiwa generasi muda yang sememangnya lebih berani bersuara tentang isu-isu yang mereka anggap penting. Kesedaran ini boleh dipupuk bukan sahaja oleh para guru bahasa Melayu melalui kaedah pembelajaran bahasa Melayu yang kreatif tetapi harus juga disemai dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi oleh golongan ibu bapa. Oleh itu, jika langkah pertama itu boleh dilakukan dengan jayanya, biarpun roda masa terus berputar, bahasa Melayu akan tetap berkembang mekar disokong oleh usaha-usaha untuk melestarikannya dari pelbagai pihak dan dibajai rasa kecintaan masyarakat Melayu sendiri terhadap bahasa ibunda kita ini.
NJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 151