Page 159 - SP2021
P. 159
Meraikan Wanita Singapura
Sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac, Singapura telah menyertakan tujuh orang wanita dalam ‘Hall of Fame’ atau Dewan Gemilang Wanita Singapura di Istana. Acara tahunan ini mengiktiraf wanita-wanita yang sudah meninggalkan kesan dalam pelbagai bidang tempatan. Seiring dengan itu, Singapura telah mengisytiharkan tahun 2021 sebagai Tahun Meraikan Wanita Singapura. Kini, semakin ramai peka akan keistimewaan 8 Mac buat kaum Hawa malah lebih ramai juga tampil untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian dan jasa wanita. Berikan pendapat kamu mengapa wanita wajar diraikan.
Diyana Farihah Binte Zaidi
Bunga Mawar Berduri
Wanita Singapura boleh disamakan dengan bunga mawar yang harum tetapi berduri. Ini kerana setiap wanita mempunyai keunikan dan kecantikan sendiri yang tidak boleh diperlekeh. Semangat waja mereka mengharungi pelbagai cabaran dunia masa kini patut diiktiraf. Kekuatan luar biasa yang dimiliki membolehkan mereka menepis stereotaip dan prejudis demi mencapai kejayaan serta impian mereka.
Kaum wanita di republik ini mempunyai hak memilih jalan hidup mereka sendiri dan mampu menghapuskan stereotaip-stereotaip yang telah lama. Tanggapan wanita kaum yang lemah dan hanya layak menjadi suri rumah tangga apabila sudah berkahwin merupakan tanggapan yang sudah jauh ketinggalan zaman. Kini, mereka bukan sahaja mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading tetapi mereka juga mendapat tawaran pekerjaan yang berkedudukan tinggi dan setaraf dengan kaum lelaki. Semakin ramai kaum wanita Singapura yang berjaya dalam kerjaya mereka dan hal ini menjadi suatu inspirasi kepada generasi-generasi seterusnya.
Dengan berbekalkan semangat waja dan keberanian kaum wanita di Singapura berpotensi menempah kejayaan dalam apapun bidang yang diceburi. Dengan pelbagai sokongan yang tersedia untuk kaum wanita, mereka pasti akan lebih terdorong untuk memacukan diri mereka melakukan yang terbaik.
TMJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 157