Page 161 - SP2021
P. 161

   Isu Wanita? Shh...!
Kaum wanita di Singapura memerlukan sokongan daripada masyarakat dan pemerintah agar dapat meraih kesaksamaan dalam bias jantina. Baru-baru ini, isu wanita telah menjadi hangat dan sering dijadikan tajuk berita. Ini bukan sahaja tertakluk kepada negara Singapura sahaja malahan seluruh jagat. Gerakan #MeToo yang diadakan beberapa tahun yang lalu membangkitkan isu feminisme dan keserataan jantina.
Namun, di Singapura isu-isu berkaitan dengan wanita sukar untuk dibincangkan mungkin kerana corak pemikiran warga yang masih agak konservatif. Di sini, tanggungjawab tradisional wanita masih berkait dengan pengasuhan anak, pengurusan rumah tangga dan penjagaan ibu bapa. Ramai dalam kalangan wanita berkerjaya akhirnya berhenti kerja semata-mata menjadi suri rumah sepenuh masa ataupun menjaga orang tua mereka yang kian uzur. Pengorbanan mereka ini wajar disanjungi. Selain mereka, golongan wanita yang bekerja juga sepatutnya diraikan kerana mereka memikul pelbagai jenis tanggungjawab tetapi harus pula berdepan diskriminasi akibat kehamilan ataupun keperluan menjaga anak yang sakit. Malah, gaji mereka adalah 6% lebih rendah daripada kaum Adam.
Lantas, sebagai generasi muda, kita perlu cuba mengubah corak pemikiran lama agar perbezaan ini dapat dihapuskan. Satu anjakan paradigma diperlukan untuk memberikan penekanan bahawa peranan wanita bukan sahaja di belakang seorang lelaki tetapi di sampingnya dalam usaha bersama-sama memajukan masyarakat.
Alysha Nabilah Binte Ahmad Husaini
   Wanita Juga Ada Hak!
Di Singapura, wanita masih lagi berhadapan dengan stereotaip jantina. Mereka sering dikaitkan dengan tugas-tugas sebagai pengasuh utama dalam keluarga. Contohnya, kebanyakan wanita di Singapura kurang mendapat bantuan suami mereka untuk menyelesaikan kerja rumah. Ada juga wanita yang perlu menjaga anak setelah pulang dari tempat kerja serta perlu menyediakan hidangan untuk santapan keluarga. Hal ini menunjukkan betapa mereka mempunyai beban tanggungjawab yang agak berat. Walaupun sudah hampir 60 tahun Piagam Wanita diluluskan,stereotaip terhadap wanita masih agak sulit untuk dirungkaikan.
Selain perlu memikul tanggungjawab kerjaya dan keluarga, wanita juga sering berdepan dengan bahaya penganiayaan dan eksploitasi. Terdapat beberapa kes penganiayaan seks terhadap wanita yang memeranjatkan masyarakat baru-baru ini, misalnya, kes yang melibatkan asatizah wanita dijadikan objek seks. Selain itu, terdapat beberapa kes pencerobohan berlaku di Universiti Nasional Singapura (NUS). Tamsilnya, Monica Baey, seorang mahasiswa di NUS dirakam ketika mandi tanpa kebenarannya. Ternyata, wanita kerap dijadikan mangsa dan privasi mereka dicerobohi.
Seharusnya, kita menghormati hak kaum wanita dan bukannya menindas mereka. Peranan mereka penting dalam kemajuan sesebuah masyarakat dan negara. Penglibatan mereka dalam sektor ekonomi telah merancakkan pelbagai bidang industri seperti kejururawatan, peruncitan dan pendidikan. Kesungguhan mereka mengasuh anak-anak membantu membentuk generasi pelapis yang berkaliber. Kita harus mengiktiraf pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus berusaha memastikan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.
Nabih Fikri Nurhuda
 TMJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 159
























































































   159   160   161   162   163