Page 162 - SP2021
P. 162
Memang
Kebolehan
Wanita
Setanding
Dewasa ini, kaum wanita menghadapi pelbagai cabaran termasuk yang berkaitan dengan keluarga dan juga kerjaya. Mereka mendapati sukar untuk meruntuhkan tembok stereotaip jantina. Sering peranan wanita dikaitkan dengan pengasuh rumah tangga walaupun bergelar wanita berkerjaya. Diskriminasi di tempat kerja menjadi duri dalam daging bagi ramai wanita di Singapura. Menjadi satu kebiasaan jika kaum wanita ditawarkan pekerjaan yang gajinya lebih rendah daripada kaum lelaki. Tambahan pula, dalam dunia masa kini, kita masih lagi berdepan dengan pandangan bahawa lelaki mempunyai lebih banyak kuasa. Wanita terus-menerus dianggap lemah dan tidak setanding dengan lelaki. Namun, saya cukup bangga dengan pencapaian wanita masa kini yang telah meraih pelbagai jawatan tinggi dalam bidang kerjaya yang diminati mereka. Contoh terbaik di Singapura ialah Presiden Halimah Yaacob yang merupakan presiden wanita pertama di Singapura. Kebolehan wanita diiktiraf dalam diri Profesor Jessica Ying, seorang saintis yang telah menerima pelbagai anugerah antarabangsa dan Ho Ching, Ketua Eksekutif Temasek Holdings. Kejayaan wanita-wanita ini menunjukkan bahawa wanita memang setanding kebolehannya dengan kaum lelaki.
Pelbagai usaha sedang dilakukan untuk memberikan lebih banyak peluang kepada wanita untuk mendapat kesaksamaan dengan kaum lelaki. Langkah pertama dan utama adalah memastikan wanita diberi pendidikan yang sama dengan lelaki. Hal ini merupakan suatu perkara yang dititikberatkan di Singapura. Dengan memberikan peluang pendidikan kepada wanita, ia telah membuka banyak pintu untuk wanita meraih kejayaan. Semoga pada masa hadapan, wanita di Singapura akan terus maju dan dapat meruntuhkan tembok stereotaip, prejudis dan diskriminasi yang selama ini menghambat perjalanan mereka menempah kejayaan.
Nur Fifi Syadzwina Binte Mohamed Sulaiman
Wanita Bukan
Insan Yang
Lemah
Di Singapura, kaum wanita sungguh bernasib baik jika dibandingkan dengan wanita-wanita di Dunia Ketiga seperti Sudan dan Afganistan. Kaum wanita di sana tidak diberikan kebebasan bersuara dan mereka hanya dibenarkan memainkan peranan tradisional mereka sebagai isteri dan pengasuh anak di rumah. Mujurlah di Singapura, kesaksamaan jantina dipentingkan. Puan Halimah Yaacob, selaku presiden wanita pertama negara ini, telah membuktikan bahawa wanita berkebolehan untuk menyandang jawatan apa pun selagi mereka bekerja keras dan bersemangat waja untuk berjaya.
Namun, malangnya masih ada lagi segelintir anggota masyarakat yang masih dibelenggui dengan pandangan kuno tentang wanita sebagai insan yang lemah dan wajar mengikut arahan orang lelaki. Tanggungjawab yang dipikul wanita sebagai anak, kakak, adik, isteri, ibu dan pekerja amat membebankan mereka. Tekanan yang berlebihan ini boleh mengakibatkan kesejahteraan mental mereka terjejas. Lantas, wajarlah kita selalu memberikan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka agar mereka terus bersemangat meniti kehidupan dengan yakin dan tabah. Wanita juga perlu menyokong sesama sendiri dan mempunyai keberanian untuk mencabar batasan diri mereka kerana mereka berkebolehan untuk mencapai segala impian mereka pada alaf baru ini.
Iffah Amirah Binte Ahmad Ithnin
160 FORUM • TMJC