Page 160 - SP2021
P. 160
Nur Syifa Binte Mohamed Fadzly
Wanita Mampu Bersaing di Persada Dunia
Pada pandangan saya, wanita Singapura memainkan peranan yang ketara dalam menjamin kemaslahatan masyarakat dan pembangunan negara. Wanita sering menjadi tunggak keluarga mereka dan diangkat menjadi seorang suri teladan dalam masyarakat kerana bakti dan sumbangan mereka wajar dicontohi.
Pada zaman yang moden ini, wanita bukan sahaja berperanan sebagai seorang yang melahirkan zuriat ataupun seorang suri rumahtangga. Wanita kini lebih terdedah kepada peluang yang pelbagai dan tidak dibelenggui oleh stereotaip yang wujud sejak zaman lampau. Hal ini telah membolehkan wanita Singapura untuk mengecapi kejayaan yang setaraf dengan kejayaan yang mampu diraih kaum lelaki. Sedang wanita sibuk menggalas tanggungjawab mereka dalam pekerjaan, mereka masih lagi memainkan peranan yang penting sebagai seorang anak, kakak, adik, isteri dan ibu dalam keluarga masing-masing.
Walaupun wanita telah berupaya mencapai kejayaan dalam banyak bidang, mereka masih lagi berdepan dengan cabaran-cabaran hebat dalam proses pembangunan yang amat pantas kini. Salah satu cabaran yang dihadapi mereka adalah dari aspek kerjaya. Penglibatan kaum wanita dalam bidang pekerjaan seperti kedoktoran, guaman, kejuruteraan dan perniagaan telah membuatkan persaingan mendapatkan jawatan yang lebih tinggi semakin sengit kerana mereka perlu melangkaui stereotaip yang ditentukan kaum lelaki terhadap mereka. Wanita kerap dilihat sebagai kaum yang lemah dan tidak mampu melakukan sesuatu secara rasional. Disebabkan ini, banyak peluang kenaikan pangkat gagal diraih oleh golongan wanita. Bahkan, gaji yang mereka terima kebanyakannya lebih rendah daripada kaum Adam walaupun mereka melakukan hal yang sama.
Harapan saya agar wanita Singapura terus mara ke hadapan tanpa rasa gentar untuk menempa nama di persada dunia.
158 FORUM • TMJC