Page 56 - SP2021
P. 56

 Persembahan Budaya Tahunan
Amirah Bte Ahmad Khairy
Pada hujung tahun lepas, lapan orang pelajar tahun dua MLEP berpeluang untuk menghadiri bengkel kebudayaan Melayu, iaitu bengkel persilatan Melayu yang dikendalikan oleh kumpulan silat beraliran bebas. Sesi ini dimulakan dengan pembicaraan mengenai sejarah dan ciri-ciri unik tentang seni ini. Kami mempelajari tentang adab-adab persembahan silat terutama sekali sewaktu majlis persandingan. Para pelatih kami menunjukkan beberapa gerakan silat yang melambangkan penghormatan kepada pihak pengantin. Contohnya, semasa melakukan gerakan, para pesilat tidak boleh membuat tendangan yang terlalu tinggi ataupun membelakangkan pengantin. Sejurus itu, kami juga didedahkan kepada pelbagai jenis senjata yang digunakan, antaranya, keris, kipas, kerambit, parangan dan sundang.
Pada masa yang sama, lapan lagi orang pelajar berkumpul di bilik MLEP untuk menghadiri bengkel alunan kompang yang dikendalikan Wira Budaya. Kami berasa amat seronok sekali kerana ini merupakan kali pertama kami dapat memegang kompang-kompang yang biasanya disusun rapi di dalam bilik stor MLEP. Pelatih kami memberikan penerangan yang begitu komprehensif tentang kompang. Kami didedahkan kepada dua jenis pukulan kompang, iaitu pukulan ‘pak’ dan ‘bung’. Kedua-dua jenis pukulan ini biasanya diselang- selikan untuk menghasilkan bunyi yang rencam dalam persembahan alunan kompang.
Setelah berakhirnya sesi penjelasan tentang kededua seni ini, tiba masanya bagi kami untuk melakukan latihan amalinya! Proses mengkoordinasi dan menghafal setiap rentak alunan kompang serta gerakan silat pengantin, amat mencabar sekali. Bilik studio yang digunakan turut merasakan ‘kehangatannya’ kerana kami menggunakan tenaga serta ketangkasan minda kami untuk mengingati setiap gerakan silat yang
telah diajarkan. Tidak kurang hebatnya, para pemain kompang bersungguh-sungguh mengikuti rentak yang diaturkan dengan baik oleh pelatih kami.
Pada awal tahun 2021, guru kami telah memilih beberapa orang pelajar untuk menghasilkan sebuah video bagi persembahan budaya tahunan di TMJC dengan menggabungkan kedua-dua persembahan silat dan alunan kompang. Dengan penggemblengan tenaga antara para pelajar MLEP dan guru-guru kami, kami berjaya menghasilkan satu persembahan yang agak mengagumkan. Saya masih ingat lagi, kami mengadakan tiga sesi raptai untuk menyesuaikan irama alunan kompang dengan gerakan silat yang telah kami pelajari. Banyak penyesuaian yang dibuat dan kami menggunakan kreativiti kami sendiri untuk memastikan bahawa aspek-aspek asas dalam budaya persilatan dan alunan kompang tidak diabaikan. Awalnya, kami menganggap bahawa irama kompang terlalu pantas berbanding dengan gerakan silat. Namun dengan bimbingan guru kami, kami berjaya menghasilkan satu lagi irama untuk mengimbangi bunyi yang dihasilkan. Kami juga berbincang tentang pakaian yang boleh dipadankan semasa persembahan ini. Sekumpulan pelajar telah dipilih untuk mempelajari cara membuat tanjak untuk membangkitkan seri persembahan itu. Saya dan Izzati pula membincangkan tentang cara-cara untuk menggunakan kamera yang dipinjamkan kepada kami untuk membuat satu rakaman yang efektif dan menarik.
Pada hari rakaman, kami berkumpul di bilik persembahan. Setiap kumpulan membuat persiapan masing-masing. Kami merakamkan video itu hingga lewat malam pada bulan Ramadan yang mulia. Namun akhirnya, kami amat berpuas hati dengan hasil video persembahan alunan kompang dan silat itu.
    54 DIARI • TMJC


























































































   54   55   56   57   58