Page 57 - SP2021
P. 57
Rapsodi Puisi
Muhammad Khidhir Bin Mazharul Yusoff Muhammad Sobir Bin Azizu Rahman
Pada 9 April 2021, semua pelajar yang mengambil subjek Bahasa Melayu baik di peringkat H1 ataupun H2 telah terlibat dalam satu acara khas seluruh maktab sempena Program Dwiminggu Bahasa Ibunda. Acara tersebut digelar Rapsodi Puisi. Sebenarnya, Rapsodi Puisi merupakan satu pertandingan persembahan puisi artistik Para peserta mendeklamasikan sajak yang diberikan dengan cara yang kreatif dan menarik.
Para pelajar MLEP Tahun 1 dan Tahun 2 telah menjadi pemudah cara bagi acara ini. Kami membantu membimbing para pelajar H1 Bahasa Melayu untuk menghayati puisi yang diberikan dan melatih mereka membuat persembahan artistik berdasarkan sajak yang diberi. Semua pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan diberi peluang untuk menggunakan pelbagai peralatan dan alat-alat muzik untuk menghidupkan sajak yang diberikan.
Sebelum acara tersebut berlangsung, para pelajar MLEP telah mengadakan sesi suai kenal antara pelajar Tahun 1 dan Tuhan 2 agar lebih mesra dan memudahkan proses untuk menyumbang saran cara untuk membimbing rakan-rakan yang lain dalam menghidupkan sajak yang diberikan.
Persiapan ini memberikan peluang kepada kami, pelajar-pelajar MLEP untuk saling berkenalan dan mengeratkan silaturahim. Pada mulanya, kami berasa segan untuk berinteraksi kerana itulah kali pertama kami berjumpa. Namun, tidak lama kemudian, kami menjadi lebih selesa kerana pelajar- pelajar MLEP Tahun 2 sangat ramah dan mudah mesra. Melalui sesi sumbang saran ini, kami dapat merancang teknik-teknik persembahan yang boleh digunakan untuk menghidupkan sajak yang diberi.
Semasa acara Rapsodi Puisi, kami diberikan masa selama satu jam untuk berlatih bersama pelajar H1 Bahasa Melayu. Pada mulanya, kami menghadapi kesukaran untuk menerangkan kepada pelajar- pelajar H1 Bahasa Melayu mengenai puisi kerana mereka tidak mengambil subjek Kesusasteraan Melayu. Namun, setelah beberapa percubaan, mereka memahami tugasan yang diberikan dan berhasil menyiapkan satu persembahan. Semua pelajar telah memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh semasa membuat persembahan masing-masing. Ternyata pelajar- pelajar di Maktab Rendah Tampines Meridian ini cukup kreatif dan berbakat. Kami amat kagum menonton persembahan rakan-rakan kami. Ada yang bermain alat muzik seperti kompang, cajon dan gitar. Ada pula yang membuat sketsa yang sangat menghiburkan hati. Ada pula yang menari dan menyanyi. Cikgu Faten Hana dan Cikgu Radhiah, selaku juri untuk pertandingan ini mendapati sukar untuk memilih pemenang. Akhirnya, tiga kumpulan terbaik dipilih dan diberikan hadiah yang berupa hamper makanan ringan kegemaran ramai. Namun bagi yang gagal, mereka tidak pulang dengan tangan kosong kerana semua peserta Rapsodi Puisi diberikan baucar kafe bernilai $2 sebagai token penghargaan.
Melalui acara Rapsodi Puisi ini, kami pelajar MLEP dapat mengeratkan hubungan, mempelajari teknik-teknik persembahan serta menikmati hasil kreativiti kawan-kawan seperjuangan. Kami sangat menghargai peluang yang diberi semasa Rapsodi Puisi untuk memaparkan bakat yang sudah lama terpendam. Kami juga benar-benar berharap akitiviti seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan jika ada peluang, boleh dijadikan program tukikan MLEP di maktab ini.
TMJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 55