Page 68 - SP2021
P. 68

 Acara Suai Kenal MLEP 2021
Hafiz Thariq Bin Sadali
 Semasa pandemik COVID-19, penggunaan aplikasi Zoom telah menjadi suatu fenomena yang biasa. Melalui platform itu, kita dapat berhubung dengan rakan-rakan, keluarga dan juga mengaturkan acara-acara yang berbeza. Platform itulah yang digunakan untuk menganjurkan sesi orientasi Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) pada 26 Februari 2021 untuk para pelajar MLEP Tahun 1 dari Maktab Rendah Jurong Pioneer (JPJC), Maktab Rendah Kebangsaan (NJC), Institusi Raffles (RI), Maktab Rendah Temasek Meridian (TMJC) dan Maktab Rendah Yishun Innova (YIJC).
Sesi ini bermula dengan perkongsian oleh ketua pelajar dari setiap maktab. Mereka telah menceritakan pengalaman semasa menjalani program ini pada tahun lepas. Antara aktiviti-aktiviti yang telah mereka sertai termasuklah bengkel sastera, menulis ulasan filem dan sesi orientasi di maktab masing-masing. Penyampaian mereka telah menarik minat pelajar Tahun 1 terhadap aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Tidak dapat dinafikan, perkongsian mereka telah memberikan para pelajar Tahun 1 sekilas gambaran tentang pengalaman MLEP yang akan dilalui oleh mereka.
Seterusnya, para peserta sesi orientasi ini telah digabungkan bersama rakan-rakan dari maktab- maktab berlainan dalam ruang bincang masing- masing dan dibahagikan kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan dianggotai 14 pelajar dari pelbagai maktab yang telah bermain ‘ice-breakers’ seperti ‘2 Kebenaran, 1 Palsu’. Tujuannya adalah untuk mereka saling berkenalan supaya dapat
menjalankan kegiatan selanjutnya sebagai satu pasukan.
Pada segmen terakhir, para peserta telah mengambil bahagian dalam satu pertandingan yang memerlukan mereka bekerjasama dengan kumpulan masing-masing untuk menghasilkan sebuah persembahan. Corak dan gaya persembahan yang akan dihasilkan diserahkan kepada
imaginasi mereka. Walaupun perkara ini tidak senang dilakukan melalui Zoom, para pelajar telah berjaya membuat persembahan yang amat menghiburkan dalam masa yang diberikan. Terdapat pelbagai jenis persembahan yang telah dipertontonkan, termasuk nyanyian, komedi, berita dan cerita. Setelah dipertimbangkan oleh para juri yang terdiri daripada guru-guru MLEP, akhirnya, dua kumpulan berjaya dinobatkan sebagai pemenang. Antara dua kumpulan tersebut, satu telah membuat persembahan komedi manakala yang satu lagi telah membuat suatu persembahan program berita. Tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti berkumpulan ini telah dapat memberi banyak manfaat kepada para peserta, termasuk mempertingkatkan kemahiran kolaboratif antara mereka dan juga menyemai nilai-nilai murni dalam diri mereka.
Pada pendapat saya, sesi orientasi ini ialah satu permulaan dalam perjalanan MLEP bagi para peserta untuk menjadi seseorang yang dapat berfikiran rasional dan kritikal ketika menghadapi halangan-halangan pada masa hadapan. Ini disebabkan kegiatan-kegiatan MLEP memerlukan para pelajar memerah otak untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberikan. Namun, mereka tidak akan melalui perjalanan ini dengan sendiri kerana mereka pasti akan dipandu oleh guru- guru MLEP, dan juga rakan-rakan seperjuangan mereka. Tambahan pula, dengan persahabatan yang telah terjalin semasa sesi orientasi ini, mereka akan sama-sama mengharungi kesenangan dan kesusahan dalam perjalanan ini, bak pepatah bukit sama didaki, lurah sama dituruni.
66 DIARI • RI

























































































   66   67   68   69   70