Page 106 - Tinta Aksara 2021
P. 106
Laporan Bengkel Perkhemahan EMAS
Nurul Syafiqah Binte Mohammad Fairozi (101) Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
104
Pada 27 Mac 2021, pelajar-pelajar Menengah 1 telah mengikuti program Perkhemahan EMAS: Tak Kenal Maka Tak Cinta yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, MOE. Pada tahun ini, kami diperkenalkan kepada seni dikir barat. Walaupun hanya sehari, kami telah menimba banyak ilmu tentang dikir barat. Kami juga telah berpeluang untuk beramah mesra dan bekerjasama dengan para pelajar EMAS dari sekolah-sekolah lain melalui aktiviti-aktiviti kenal suai dan persembahan-persembahan yang harus kami lakukan secara berkumpulan. Pada mulanya, kami berasa agak malu dan gamam. Namun, lama-kelamaan, kami lebih berani dan mula berinteraksi bersama satu sama lain melalui persidangan Zoom.
Sepanjang sesi ini, kami juga telah mempelajari cara-cara untuk menghasilkan ragam dikir barat dengan menggunakan kreativiti kami. Setelah mengetahui cara-caranya, setiap sekolah dikehendaki membuat persembahan dikir barat sambil melakukan ragam-ragam yang telah direka oleh mereka. Tiga buah lagu yang kami nyanyikan ialah Rakan Muda, Wau Bulan dan Dikir Singapura. Semasa persembahan itu, tukang karut dan juga tok juara kami ialah guru dikir barat kami. Semasa persembahan yang kedua, kami dikehendaki melakukan persembahan bersama kumpulan kami sendiri yang dianggotai oleh pelajar- pelajar EMAS dari sekolah-sekolah yang berlainan.
Kami telah mempelajari bahawa dikir barat dianggotai oleh empat buah kumpulan, iaitu Tok Juara, Tukang Karut, Awak-awak (15-20 orang) dan juga kumpulan paluan. Tok Juara ialah penyanyi utama yang membuka tirai dikir barat. Tukang Karut pula ialah seorang penyanyi ataupun pencerita. Peranan Awak- awak pula adalah untuk mengulangi lirik lagu yang dinyanyikan Tok Juara dan peranan kumpulan paluan pula adalah untuk bermain muzik. Antara alat-alat muzik yang dimainkan dalam persembahan dikir barat ialah gong, canang, rebana ibu, rebana anak dan juga marakas. Dikir barat bermula dari Patani, Selatan Thailand dan turun ke Kelantan sehingga beberapa negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Kini, seni persembahan ini masih wujud di Singapura.
Pada akhir sesi ini, kami telah berjaya mereka ragam dikir barat kami sendiri dan juga mengubah lirik-lirik lagu dikir barat. Selain itu, kami juga telah membentuk nilai bekerjasama semasa kami melakukan persembahan secara berkumpulan. Secara keseluruhan, perkhemahan ini telah mencapai objektif- objektifnya kerana banyak pengetahuan baharu yang kami peroleh setelah menghadiri sesi ini. Semua pelajar juga berasa seronok semasa perkhemahan tersebut. Pengalaman menghadiri perkhemahani itu bukan sahaja menambah pengetahuan, bahkan memberikan peluang kepada para pelajar untuk mengenali bahasa dan budaya Melayu kita dengan lebih dekat.