Page 109 - Tinta Aksara 2021
P. 109
Pada Penggal Satu yang lalu, saya telah menghadiri bengkel penulisan skrip yang dijalankan oleh Cikgu Anwar Hadi. Pada awalnya, saya berasa teruja kerana saya benar-benar ingin tahu apakah yang bakal saya pelajari daripada bengkel tersebut. Menerusi bengkel ini, saya telah mempelajari banyak aspek penulisan skrip seperti menyampaikan idea dan membina plot dalam sebuah penceritaan. Bukan itu sahaja, terdapat pelbagai aspek penulisan yang boleh digunakan ketika menulis skrip yang saya boleh gunakan dalam penulisan saya pada masa hadapan. Saya amat bertuah kerana berpeluang untuk menghadiri bengkel ini kerana saya bukan sahaja dapat mempelajari pelbagai cara menulis skrip, saya juga dapat berinteraksi dengan murid- murid daripada kelas lain. Melalui bengkel penulisan skrip ini, kami telah didedahkan kepada cara-cara menulis skrip dengan memahami watak antagonis dan protagonis dengan lebih mendalam.
Menerusi bengkel ini, saya telah berpeluang mengaplikasikan teknik-teknik penulisan karangan yang telah diajarkan oleh guru saya. Bengkel penulisan skrip ini juga membantu saya dalam penulisan karangan pada masa akan datang kerana saya dapat menggunakan imaginasi saya untuk mendalami setiap watak dalam cerita. Kami harus berfikir secara kritis dan kreatif untuk memastikan setiap dialog yang disampaikan oleh watak dalam penulisan skrip ini mempunyai kesan terhadap perjalanan cerita.
Bengkel penulisan skrip ini telah membuka mata dan minda saya untuk menjadi lebih bebas dan kreatif semasa menghasilkan sebuah karya. Saya berharap dengan ilmu yang saya timba menerusi bengkel penulisan skrip ini, saya dapat memperluas skop pemikiran dan menjadikan saya seorang penulis yang lebih kritis dan kreatif, sekali gus mempertingkatkan kemahiran saya untuk berbahasa Melayu.
Laporan Bengkel Penulisan Skrip
Muhammad Rifqi Bin Azmie (1A) Sekolah Menengah Tanjong Katong
107