Page 111 - Tinta Aksara 2021
P. 111
dengan harapan membuat aktiviti nyanyian lebih santai, sekaligus mempertingkatkan keyakinan diri setiap pelajar. Senyuman guru-guru kami turut memberikan suntikan semangat dalam diri kami agar kami semua dapat bernyanyi dengan baik. Tanpa disedari, suara kami sebagai sebuah kumpulan pun semakin lama semakin lantang.
Dengan tenaga yang kian susut dek giat berdikir, tibalah masa untuk kami berehat dan menjamusedikitkudapanberupakuih-muih. Cabaran kami yang seterusnya pula adalah untuk mengubahsuaikan lirik lagu yang akan dinyanyikan nanti. Aktiviti yang bermakna ini membolehkan kami untuk mengongsi idea dan mempelajari keindahan bahasa dan muzik daripada satu sama lain. Sewaktu perbincangan, cara kami berinteraksi seolah-olah kami sudah lama berkenalan dan perasaan gementar pun lenyap. Jika latihan nyanyian tadi membangkitkan semangat berani mencuba, menggunakan bahasa Melayu dalam konteks yang autentik seperti ini pula memupuk minat kami terhadap bahasa ibunda.
Aktiviti kemuncak pada perkhemahan hari itu ialah persembahan dikir barat daripada ketiga-tiga buah pusat EMAS. Kami semua berasa teruja untuk mementaskan apa yang telah kami sediakan sepanjang hari serta menyaksikan persembahan rakan-rakan dari sekolah lain. Ketika giliran pusat kami tiba, ada antara kami sebenarnya masih
kelihatan gementar. Walau bagaimanapun, kami memberikan persembahan yang terbaik sewaktu menyanyi sekali gus merasakan keseronokan berdikir barat. Pada hemat saya, kesemua persembahan pada hari perkhemahan itu amat mengagumkan meskipun ramai dalam kalangan kami yang baru pertama kali melibatkan diri dalam seni dikir barat ini.
Selepas ucapan penutup perkhemahan disampaikan melalui Zoom, para pelajar, jurulatih dan guru-guru pun berkumpul untuk berfoto beramai-ramai di Zoom menerusi fungsi tangkap layar. Sebagai sebuah pusat EMAS, kami di Sekolah Menengah Tanjong Katong juga telah mengambil gambar bersama sebagai tanda kenangan manis pada hari tersebut. Agak sedih juga apabila perkhemahan yang sarat dengan manfaat itu perlu berakhir. Selain mempertingkatkan penguasaan dan keyakinan berbahasa ibunda dalam diri kami, perkhemahan ini telah menyemai minat dan cinta kami kepada budaya Melayu. Malah, semangat setia kawan yang hebat juga turut dirasai dengan persahabatan yang terjalin mesra, sepertimana yang dicerminkan oleh bait-bait lagu dikir barat yang kami nyanyikan.
‘Rakan muda, rakan seni budaya, Persahabatan kita haruslah setia, Biar abadi kekal sepanjang masa, Itu suatu tanda kita telah berjaya.’
109