Page 70 - Tinta Aksara 2021
P. 70
Cahaya Di Penghujung Jalan
Fitri Nurbalqis Binte Mohamed Shafri (403A) Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
68
Aku membuka mataku perlahan-lahan. Kelihatan lautan warna putih yang seakan- akan tiada penghujungnya di hadapanku. Tiada warna lain selain putih yang menghiasi siling di atas. Badanku kaku umpama anak patung yang tidak bernyawa dan tanganku pula seperti diikat dengan rantai. Fikiranku berkecamuk dengan seribu satu persoalan. Di manakah aku?
“Hana, bangunlah Hana. Ibu merindu Hana,” tangisan yang tersedu-sedu dapat kudengar. Aku cuba menoleh ke arah suara itu tetapi ternyata, aku tidak mampu.
“I...bu, di mana Hana? Mengapakah Hana di sini? Hana takut,” kata-kata tersebut kuluahkan dengan penuh kesukaran. Lidahku terkelu.
Terbayang wajah ibuku di hadapanku apabila dia cuba mendakap tubuhku. Matanya merenung aku dengan sayu. Diriku bingung. Aku tidak bermaya. Tubuhku terbujur longlai di atas katil yang empuk. Aku berharap mimpi buruk ini berhenti segera. Seorang jururawat tiba di wadku dengan wajah ceria lalu membuka pelitup oksigen di mulutku serta menegakkan katilku dengan memicit butang di sebelahku.
Aku kembali ke alam realiti. Aku mula mendapat jawapan kepada persoalan tadi. Malang tidak berbau bagi diriku. Aku ditimpa kemalangan jalan raya yang dahsyat. Kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori yang terlanggar sebuah kereta
berdekatan dari tiang lampu isyarat. Di situlah aku sedang berdiri, menunggu untuk menyeberang jalan. Berita tersebut sudah menular di Internet serta media sosial dan ramai netizen yang meluahkan keprihatinan dan simpati terhadap aku. Tidak kurang juga yang mengutuk pemandu kereta yang tidak bertanggungjawab itu. Ada juga yang ingin memulakan kutipan derma menerusi lelaman web ‘Go Fund Me’ untuk aku. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sedalam mana sekalipun perasaan simpati tersebut, pastinya tidak sedalam penderitaan yang aku tanggung sekarang ini.
Hatiku pula hancur bagaikan kaca terhempas ke batu apabila mendapat tahu daripada doktor pakar yang merawatku bahawa aku tidak lagi berupaya untuk berjalan mahupun menggerakkan sebahagian daripada tubuhku. Nafasku sesak dan air mataku mengalir tanpa diundang membasahi pipiku yang cengkung. Aku berasa seperti tidak lagi berguna. Apa gunanya jika aku sendiri tidak dapat melakukan perkara-perkara yang biasa aku lakukan sendiri? Aku tidak mampu memegang cawan mahupun duduk dengan betul. Apa gunanya menyalahkan pemandu kereta yang cuai itu? Saban hari keluargaku dan Puan Siti, jururawat peribadi yang ditugaskan untuk menjaga aku, seolah- olah mendalangkan tubuhku kerana aku tidak berupaya untuk melakukan banyak perkara sendiri. Hidupku jauh daripada kawalanku dan aku perlu bergantung pada orang-orang yang amat mengasihi aku. Duniaku gelap. Aku pasrah. Aku menangis- tidak keruan.