Page 75 - Tinta Aksara 2021
P. 75
Sebelum Ayah pergi, dia meminta aku berjanji bahawa walau apapun yang terjadi, aku akan tetap menyayangi dan menjaga Mama. Namun hatiku berbisik – bagaimanakah harus aku menyayangi dan menjaga orang yang sering menyakiti aku? Demi Ayah, akan kucuba.
“Raisha janji, Ayah, Raisha janji,” jawabku sambil tersedu-sedu.
Setitik air mata mengalir di pipiku. Hari ini, aku telah memungkiri janjiku kepada Ayah. Aku menutup wajahku dengan kedua-dua belah tanganku dan mula menangis teresak- esak. Di mana dikau, Mama? Fikiranku melayang memikirkan apa yang telah terjadi beberapa jam yang lalu.
Perasaan gembira berbunga di lubuk hatiku dan segaris senyuman terukir di bibirku. Aku baru sahaja menerima keputusan peperiksaanku dan telah lulus semua mata pelajaranku dengan cemerlang. Aku tidak sabar untuk memberitahu Mama berita baik ini. Setibanya di koridor rumahku, senyumanku seolah-
olah terpadam. Pintu
rumahku luas terbuka
dan jeritan memenuhi
gegendang telingaku.
Dengan perlahan-
lahan aku memasuki
ruang tamu dan
mataku membulat tatkala aku
terpandang serpihan kaca yang bersepahan di lantai. Degupan jantungku hampir terhenti apabila aku terlihat titik-titik cecair merah di dinding. Darah.
“Mama!” Sepantas kilat aku berlari ke dapur.
Fikiranku dirasuk ingatan yang bukan-bukan. Aku amat mengenali suara itu. Langkahku mati. Kulihat mukanya pucat lesi bagaikan ditoreh tidak berdarah. Aku tidak percaya apa yang aku lihat - Mama memijak tubuh adikku, Amar, yang terbaring lemah di atas lantai. Segelung tali pinggang dalam
genggamannya.
Maafkan Aku, Mama
Nur Halimatus Saadiah Binte Md Idros (204) Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
73