Page 89 - Tinta Aksara 2021
P. 89
Mataku terbeliak. Hatiku pecah seribu. Masalah demi masalah menimpa aku. Aku tidak tahu apa aku harus lakukan untuk bagaimana aku akan menghadapi dugaan ini. Adakah impianku untuk memulakan perniagaan merupakan suatu kesilapan yang besar? Perasaan kesal mula menghantui aku kerana aku telah kehilangan segala-galanya. Dengan hati yang berat, aku menghubungi kakakku untuk memberitahunya tentang hal tersebut walaupun aku sudah dapat mengagak reaksinya kepada aku.
“Padan muka engkau! Kakak sudah jangkakan, engkau akan menghadapi masalah seperti ini. Sekarang, engkau muflis. Sudahlah, engkau pergilah cari jalan keluar sendirian. Bukankah aku sudah berikan amaran kepada engkau sebelum ini?” Kakakku menyindir dengan nada sinis.
Mengapakah Kakak sanggup melakukan perkara seperti ini terhadap aku? Pada saat itu, aku berasa seperti sebatang kara. Kini, aku harus cari penyelesaian bagi masalah ini supaya aku tidak akan terus merana. Walaupun berseorangan, aku tekad untuk berusaha bertungkus- lumus demi mengatasi dugaan ini.
Beberapa bulan berlalu, aku masih mencuba cara-cara yang berbeza untuk menarik perhatian pelanggan. Aku telah membuka akaun Instagram dan mengiklankan nama geraiku melalui rakan-rakanku yang lain. Aku pasti jika aku tidak berputus asa, aku akan mencapai matlamatku – kejayaan. Aku sedar bahawa masih ada orang yang akan menghina usahaku dan aku ingin membuktikan bahawa aku layak mendapatkan apa yang aku inginkan.
Meskipun payah dan aku berputus asa hampir setiap hari, sambutan pelanggan semakin memberangsangkan. Adakah iklan-iklanku berjaya menarik perhatian mereka? Aku tidak sabar untuk melihat mereka menjamu selera dengan lauk-pauk yang telah disediakan.
Akhirnya, doaku telah dimakbulkan. Bagaikan tuah datang bergolek, aku telah dihubungi oleh seorang wartawan yang
ingin aku menghadiri satu sesi wawancara untuk dimasukkan ke dalam sebuah artikel surat khabar. Ternyata, usahaku telah dipermudahkan oleh-Nya. Namun, apabila aku tiba di rumahku, aku mendapati bahawa kakakku sedang berbual-bual dengan pihak media tentang kejayaanku.
“Selama ini saya telah menyokong adik saya dalam menjalankan perniagaannya. Saya tidak pernah pun berasa ragu-ragu terhadap
potensinya. Saya selalu mempercayai bahawa dia akan berjaya,” aku mendengar penipuan yang telah disuapkan kepada
wartawan tersebut oleh kakakku.
Aku terkejut kerana kakakku telah berbohong di depan mataku sendiri. Selama ini, dia tidak pernah menyokong segala rancanganku. Kini, aku sudah berjaya, kakak tiba-tiba ingin berpura- pura. Aku tidak dapat melakukan apa- apa atas dasar hormat terhadap kakakku. Pada saat itu, aku sedar bahawa inilah penyakit iri yang bersarang dalam hati segelintir anggota masyarakatku. Api kemarahan mula menyemarak di sudut hatiku. Aku hanya tersenyum di hadapan mereka. Dahulu, aku terpaksa menghadapi setiap onak duri sendirian. Setelah aku bangkit daripada kegagalan barulah kakakku mahu mendampingi aku. Aku mengeluh. Aku hanya berharap agar kakakku menyedari akan kesalahannya. Setelah wartawan itu pulang, aku menegur sikap kakakku. Dia hanya mencebikkan bibirnya ke arahku. Pada saat itu, aku sedar bahawa dia masih berdegil. Maka, aku tiada pilihan yang lain,
kecuali bermunajat kepada Tuhan;
Ya Tuhan,
Terima kasih atas semua yang Engkau telah berikan kepada aku. Engkau telah mempermudahkan rezekiku setelah menghadapi segala dugaan. Ya Tuhanku, Engkau berikanlah kesedaran kepada kakakku supaya dia insaf dan boleh menyokong aku pada masa hadapan. Bukakanlah pintu hatinya supaya dia dapat memberikan sokongannya yang benar-benar ikhlas terhadap impian-impianku. Amin.
87