Page 117 - eDinamik
P. 117
DAGING MAKANAN SUNNAH NABI MUHAMMAD S.A.W.
Ida Suriya Ismail dan Ustaz Mohd Zainodin Mustaffa
Apabila berkata tentang makanan sunnah, kita pastinya akan terfikir tentang kurma tetapi daging
juga tidak ketinggalan menjadi makanan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Berdasarkan hadis,
terdapat beberapa jenis daging yang dimakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. tetapi artikel ini
akan menerangkan berkenaan daging lembu, kambing, ayam dan burung. Menurut hadis sahih
riwayat Tirmizi dan Ahmad, Nabi Muhammad S.A.W. makan daging bakar dan daging panggang.
Antara hikmahnya, kolestrol dari daging yang dibakar akan cair dan keluar dari daging tersebut.
Dari sudut kesihatan, kolestrol dari haiwan adalah tidak baik untuk kesihatan berbanding
kolestrol dari tumbuh-tumbuhan. Oleh yang demikian, kolestrol dapat dipisahkan dari daging
apabila ianya dibakar. Selain itu, membakar daging juga akan mematikan sel darah merah dan
bakteria yang ada pada daging tersebut. Mematikan sel darah merah adalah sangat penting
kerana darah menggandungi racun yang boleh memudaratkan tubuh badan.
Umumnya, terdapat pelbagai bahagian daging pada lembu dan kambing yang boleh dimakan
seperti daging di bahagian belakang badan, daging tulang rusuk, daging di bahu dan daging di
kaki. Dalam hadis riwayat Tirmizi menjelaskan bahawa baginda turut menyukai daging bahagian
belakang. Rasionalnya kerana daging bahagian belakang adalah merupakan daging paling
lembut, mempunyai lemak yang tidak tepu dan rasanya seolah-seolah bermentega atau
“buttery”. Ini kerana otot dibahagian belakang tersebut kurang bergerak yang menyebabkan ia
tidak keras atau pejal. Harga di pasaran bagi daging bahagian belakang ini juga agak mahal
berbanding yang lain kerana kualitinya yang baik. Daging yang paling digemari baginda ialah
daging kambing. Ia adalah daging merah terbaik yang mengandungi paras kolestrol dan lemak
tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain. Manakala bahagian yang paling disukai
baginda ialah bahagian lengan (kaki). Tirmizi meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a yang
menceritakan bahawa Nabi S.A.W. amat meyukai daging bahagian lengan. Antara sebabnya
ialah kerana ianya mudah empuk berbanding bahagian lain. Disamping itu, ianya mempunyai
kolestrol yang rendah berbanding daging lembu.
Selain dari lembu dan kambing, Nabi Muhammad S.A.W. juga pernah makan daging ayam.
Struktur daging ayam adalah unik kejadiannya berbanding daging lembu dan kambing. Ini
kerana secara semula jadinya lemak ayam hanya berada di kulitnya sahaja. Dagingnya tiada
lemak dan tidak perlu dibakar untuk memisahkan lemaknya. Daging ayam juga mengandungi
protein yang tinggi dan paling cepat dihadamkan berbanding dengan daging yang lain. Selain itu,
Nabi juga makan daging burung hubara (leher dan paruhnya panjang). Rasionalnya daging
burung mempunyai kolestrol yang rendah dan ia juga boleh mencernakan kolestrol yang ada di
dalam badan. Secara rumusannya, daging merupakan sebahagian dari makanan yang dimakan
oleh Nabi Muhammad S.A.W. tetapi perlu dimbil secara sederhana dan tanpa berlebih-lebihan.
Pastikan juga makanan yang di ambil adalah seimbang. Sumber di ambil dari Radio IKIM slot
Rahmatan Lil ‘Alamin disampaikan oleh Ustaz Rusydi Ramli Al-Jauhari.
108