Page 114 - eDinamik
P. 114

PELAKSANAAN CUKAI MINUMAN BERGULA
                                             DI MALAYSIA
                                        Nor Hafizah Abd Mansor



       PENDAHULUAN

       Menerusi pembentangan Bajet 2019 yang lalu, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan cukai
       tidak lansung terbaharu iaitu cukai minuman bergula yang pada awalnya dijangkakan
       pelaksanaannya pada 1 April 2019.
       CUKAI MINUMAN BERGULA

       Cukai minuman bergula atau sugary drink tax atau soda tax atau sugar-sweetened beverages tax
       telah diperkenalkan oleh kerajaan Denmark pada tahun 1930an. Pelaksanaan cukai ini turut
       dikenakan di beberapa negara maju seperti Perancis, Hungary, Mexico dan Australia. Tujuan
       utama cukai ini adalah untuk mengatasi masalah kesihatan seperti obesiti, diabetis, penyakit
       jantung dan pembuluh darah.
       Di Malaysia, cukai minuman bergula adalah duti eksais yang dikenakan ke atas barang-barang
       tertentu yang dikilangkan di Malaysia serta barangan import yang tersenarai di dalam Perintah
       Duti Eksais di bawah kepala kod 22.02 iaitu air minuman yang mengandungi gula tambahan atau
       bahan pemanis lain (nilai ambang gula melebihi 7 gram per 100ml) serta jus buah-buahan atau jus
       sayuran di bawah kepala kod 20.09 yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100ml. Kadar
       cukai yang dikenakan adalah RM0.40 bagi setiap liter.
       KESAN PELAKSANAAN CUKAI MINUMAN BERGULA

       Cukai minuman bergula ini akan dikenakan di peringkat pengilang mahupun pengimport. Ini akan
       meningkatkan kos pembuatan. Di Perancis, pengenaan cukai ke atas minuman bergula pada
       tahun 2012 telah menyebabkan harga minuman bergula meningkat sebanyak 3.5%.

       Dari sudut positif, pengurangan pengambilan minuman manis selari dengan kepekaan kerajaan
       terhadap masalah kesihatan awam yang semakin meruncing. Hasil kajian yang dilakukan di
       Berkeley, Amerika Syarikat menyaksikan cukai minuman bergula berjaya menurunkan
       pengambilan minuman bergula sebanyak 52% selepas tiga tahun cukai tersebut diperkenalkan.
       Impak positif akan dapat dicapai di Malaysia dengan pelaksanaan cukai ini memandangkan rakyat
       Malaysia merupakan paling gemuk di Asia Tenggara, keenam di rantau Asia Pasifik dan di Asia
       serta menduduki tempat ke-17 di dunia bagi penduduk yang mengalami kencing manis.
       Bajet 2019 mensasarkan pelaksanaan cukai minuman bergula berupaya menambah hasil negara.
       Kerajaan Filipina menganggarkan peningkatan hasil cukai bersih negara kesan tambahan cukai
       minuman bergula sebanyak 41 bilion peso Filipina setahun. Kerajaan Malaysia berhasrat
       menggunakan hasil cukai tersebut untuk menampung sarapan percuma dan sihat kepada semua
       murid sekolah rendah yang membolehkan kanak-kanak bertenaga untuk memulakan sesi
       persekolahan.    Di Amerika Syarikat, hasil cukai ini digunakan untuk menyokong program
       pendidikan nutrisi dan program berkebun di sekolah - sekolah dan organisasi tempatan untuk
       menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat.




   105
   109   110   111   112   113   114   115   116   117   118   119