Page 206 - eDinamik
P. 206

CERPAN: BERLUMBA DENGAN CIK PONTI

                                  Siti Musliha Ajmal Binti Mokhtar




          Kisah yang saya ingin sampaikan adalah kisah benar diceritakan oleh mak saya sendiri. Mak
          adalah anak yang ke 7 daripada 11 adik-beradik. Keturunan nyaei dan yaie (panggilan untuk
          nenek dan datuk dalam Bahasa Jawa) berasal daripada Kepulauan Jawa, Indonesia dan rata-
          rata mereka memang mempunyai ilmu ‘istimewa’ sebagai pendinding. Pernah juga mak cerita
          arwah yaei pergi dan balik ke Kepulauan Jawa hari yang sama, dan membawa pulang kain dari
          sana. Sebagai peneroka di Kampung Parit Pelampong, Johor, yaei banyak membersih tanah
          hingga bukit dan gunung sebagai kawasan tanaman padi, salah satunya di kaki Gunung Sari.
          Masa mak saya sekolah rendah, antara tugas utama adalah menghantar makanan kepada
          abang-abang yang bertani dan bermalam di gunung itu kerana jarak yang jauh. Cerita ini
          berkisarkan pengalaman mak sepanjang perjalanan pergi dan balik daripada Gunung Sari tapi
          saya olahkan mewakilkan mak sebagai pencerita. Ada juga yang ditokok tambah untuk
          penyedap cerita, semoga para pembaca terhibur!

                        Hari itu seperti biasa aku bertolak jam 3 petang menaiki basikal untuk
          menghantar makanan kepada Kang Moha dan Kang Domyati (Kang=abang). Gunung Sari ini
          tidak lah jauh sangat tapi perjalanannya agak mencabar. Jalan mendaki bukit dan jalan tanah
          yang berbatu memerlukan aku lebih berhati-hati, supaya tidak jatuh ke lereng tepi bukit.
          Walaupun aku bersaiz paling kecil dan ada 4 orang kakak, namun aku yang dipilih mak sebab
          katanya aku paling berani dan handal membawa basikal, tidak padan dengan kaki yang pendek.
          Jadi macam biasa aku perlu melalui Kampung Parit Bengkok selama sejam sebelum sampai ke
          jalan kebun yang berbukit bukau selama sejam menuju kawasan tani keluarga aku. Kampung
          pada masa itu masih kurang penghuni, ayah aku antara orang terawal meneroka kawasan ini,
          jadi jarak antara rumah juga agak jauh. Perjalanan biasa mengambil masa dua jam, dan ini
          antara pengalaman menyeronokkan kerana angin petang yang melanggar muka dan jalan yang
          masih terang. Apabila sampai ke kawasan Gunung Sari itu, sudah pastinya aku tidak terus balik
          kerana ada satu tasik besar disana, menjadi tempat aku melepas gian untuk memancing
          walaupun mak melarang aku untuk memancing kerana kawasan itu ada binatang buas. Pernah
          sekali aku ternampak seekor beruang besar di seberang tasik semasa memancing.
          Memandangkan tasik itu besar seluas padang bola sepak, aku yakin dia tidak akan dapat
          mengejarku. Geli hati melihat dan mengejek beruang walaupun terasa sedikit gerun dihati.

                        Kayu dahan kubersihkan menjadi joran bersama beberapa ekor cacing yang
          dibawa siap dari rumah. ‘Kalau ada rezeki lebih boleh bawa pulang ikan haruan untuk makan
          malam’ bisik hati. Hari tu, disebabkan terlalu ralit memancing, aku tidak sedar masa berlalu.
          “Yati, cepat balik nanti sudah gelap”, laung Kang Moha.













                                                                                                       197
   201   202   203   204   205   206   207   208   209   210   211