Page 207 - eDinamik
P. 207
Aku toleh ke langit melihat cahaya matahari makin pudar. Aduh, lambat la pulak balik ni, getus
hatiku. Seharusnya aku perlu bertolak paling lewat pukul 6, supaya aku sampai kawasan
kampung sebelum maghrib, namun waktu itu sudah menjejak lebih 6.30 petang.
Aku pantas melompat ke atas basikal dan memecut persis Azizul Hasni Awang.
Sebolehnya aku ingin keluar dari jalan kebun sebelum malam kerana jalan gelap amat
merbahaya. Aku pantas mengelak batu batu di jalan, silap langkah kalau terlanggar batu besar
aku boleh tercampak dan cedera teruk. Disebabkan basikal ini sudah tua, tiada brek dan sayap
atas tayar, selipar yang kupakai menjadi ‘break pad’, aku tekan ke atas tayar untuk
menghentikan basikal. Sesekali aku menaikkan punggung untuk menambah kelajuan dan
mengurangkan hentakan apabila melalui jalan berlubang. Lepas 20 minit perjalanan, peluh
sudah laju menitik, kaki pun agak lenguh dan aku kurangkan kayuhan untuk rehat sebentar.
Jalan yang aku lalui ini merupakan denai yang merentas kebun dimana kiri kanan ada pokok-
pokok getah dan juga semak samun. Pokok-pokok itu walaupun jarang, batangnya tinggi dan
daunnya yang merimbun membuatkan cahaya matahari samar-samar menerangi kawasan.
Ini adalah laluan ‘keras’ yang selalu abang aku ceritakan. Walaupun aku
perlahankan kayuhan, mata dan telinga lebih peka mengawasi kawasan sekeliling. Tiba-tiba
sayup kedengaran bunyi burung langkuit, menyebabkan bulu romaku meremang. Kawan aku
cakap, kalau dengar bunyi burung ini menandakan ada makci ponti (singkatan bagi pontianak)
berdekatan. ‘Supp’ berderau darah bila sekilas terpandang kain merah lalu melintasi kearah
kawasan kebun. ‘Eh, apa benda tu’ bisik hati apabila hujung mata mula menangkap bayangan
merah nun di kawasan kain itu menghilang. Lantas aku mengangkat punggung dan menguatkan
kayuhan. Malang tidak berbau, aku terlanggar akar kayu besar yang melintang. Hentakan yang
kuat membuat aku terdorong kehadapan dan terlepas dari basikal. “Allah, sakitnya” terlepas
keluhan itu dimulutku. Aku berdiri sambil mata menerawang mencari basikal yang tercampak
tadi. Basikal tercampak 10 meter ke dalam kebun dari jalan tadi. Sedang aku mendekati basikal,
langkahku terhenti apabila terpandang kelibat belakang seorang perempuan, memakai kebaya
merah bersulam bersama kain baik songket berdekatan pokok getah itu. Seketika aku kaget
kerana terperanjat kemudian cuba menenangkan diri memikirkan ia juga adalah ciptaan Yang
Esa. Berbekalkan lafaz bismillah, aku mula berjalan kembali. Ketika aku mencangkung untuk
menarik basikal, bula roma tengkuk tegak berdiri, terasa seakan-akan ada kain melibas di
belakang tengkuk.
198