Page 49 - eDinamik
P. 49

PELABUR DAN MATA WANG KRIPTO

                                             Tay Bee Hoong

        Era digital menawarkan pelbagai jenis peluang dan cabaran kepada masyarakat termasuklah
        pelaburan dalam mata wang kripto. Mata wang kripto ataupun mata wang maya adalah wang digital
        yang semakin mendapat perhatian di era digital ini. Mata wang kripto seperti Bitcoin, Ethereum,
        Zcash, NEO, Dash, Litecoin dan Ripple menjadi tarikan ramai terutamanya kepada generasi Y dan
        milenium yang akrab dengan teknologi digital dan elektronik.

        Selain digunakan sebagai medium pembayaran, mata wang kripto juga merupakan salah satu sekuriti
        yang dilabur oleh pengguna dengan harapan untuk mengaut keuntangan kelak. Hakikatnya, Bitcoin
        yang diperkenalkan pada tahun 2008 pernah mencecah ke paras melebihi AS$20,000 pada Disember
        2017. Walau bagaimanapun, harga Bitcoin menjadi tidak menentu akibat kemeruapan pasaran global
        dan telah mengalami kemerosotan selepas Disember 2017. Ianya didagang pada harga
        AS$10,104.24 pada 24 Ogos 2019.
        Seperti pelaburan di sekuriti lain, pelaburan mata wang kripto mempunyai risikonya yang tersendiri.
        Kes kecurian yang membabitkan wang kripto iaitu Coincheck di Jepun pada bulan Januari 2018 telah
        melibatkan kerugian sebanyak AS$530 juta di bursa mata wang digital yang berpusat di Tokyo. Selain
        daripada itu, Bitcoin telah mengalami kejatuhan melebihi 10 peratus pada bulan Julai 2019 akibat
        daripada informasi yang melibatkan penggubalan undang-undang Amerika Syarikat terhadap
        rancangan Facebook untuk mengeluarkan wang syiling digital yang dinamakan Libra pada tahun
        2020. Ini menunjukkan pelaburan mata wang kripto sememangnya terdedah kepada risiko
        kemeruapan pasaran.

        Maka, persoalan yang menarik timbul sama ada masyarakat secara umumnya memahami risiko dan
        cabaran untuk melabur di mata wang maya? Walaupun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah
        memperkenalkan Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Preskripsi Sekuriti) (Mata Wang Digital
        dan Token Digital) yang telah mempreskripsikan aset digital sebagai satu sekuriti pada 15 Januari
        2019, namun, pelabur perlu berhati-hari sebelum menyalurkan dana mereka ke sekuriti ini.

        Antara perkara penting yang perlu dikenalpasti adalah cara untuk menyimpan dan melindungi kunci
        peripadi. Kehilangan kunci peribadi akan menyebabkan pelabur tidak dapat menggunakan mata wang
        tersebut kelak. Di samping itu, teknologi rantaian blok dan kriptografi telah membezakan pengurusan
        risiko mata wang maya daripada pengurusan risiko sekuriti lain yang melibatkan wang fiat. Maka,
        pelaburan dalam mata wang maya memerlukan infrastruktur teknologi yang mantap agar dapat
        melestarikan keselamatan siber.
        Selain daripada mengenalpasti cara yang selamat untuk menyimpan wang kripto, pelabur perlu
        mempersiapkan diri dengan pengetahuan perkembangan pasaran semasa supaya dapat menguasai
        maklumat penting yang akan mempengaruhi nilai mata wang kripto yang dimiliki oleh mereka. Ini juga
        amat penting dalam membantu pelabur dalam membentuk dan mengurus portfolio mata wang maya,
        contohnya, menentukan masa yang sesuai untuk jual beli dan mengenalpasti mata wang yang
        ‘undervalued’ untuk dilabur.
        Pelaburan dan penggunaan wang kripto sememangnya melibatkan risiko dagangan yang tinggi.
        Walaupun dipreskripsikan sebagai sekuriti oleh SC, mata wang digital belum dianggap sebagai tender
        yang sah oleh Bank Negara Malaysia. Isu berkenaan dengan penyalahgunaan dan pembersihan
        wang haram menjadi cabaran kepada pengawalseliaan terhadap mata wang digital ini. Maka, untuk
        dijadikan sebagai salah satu aset dalam portfolio pelaburan, pelabur dan pengguna haruslah tepuk
        dada tanya minda kerana ianya amat bergantung kepada pemahaman meraka terhadap mata wang
        maya tersebut.






                                                                                                       40
   44   45   46   47   48   49   50   51   52   53   54