Page 54 - eDinamik
P. 54
Pada awalnya, saya sendiri tidak pasti apa yang patut saya lakukan apabila
tingkah laku Ahmad Sirhan menyebabkan kemarahan pihak ketiga. Namun, sedikit demi
sedikit saya belajar untuk menerima kenyataan bahawa si pesalah (walaupun tanpa niat) itu
adalah Ahmad Sirhan, anak saya. Demi melatih Ahmad Sirhan menjadi seorang yang
bertanggungjawab di atas kesalahannya dan melatih diri saya untuk menerima hakikat
bahawa Ahmad Sirhan adalah anak istimewa saya, apa yang saya lakukan adalah
membawanya kembali ke lokasi kejadian dan meminta maaf di atas perbuatannya. Tindakan
sebegini juga saya anggap sebagai ‘kempen kecil’ saya tentang kesedaran Attention Deficit
Hyperactivity Disorder (ADHD) kepada orang awam.
ADHD lebih banyak dihadapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.
Pakar psikiatri menyatakan bahawa ADHD boleh berpunca sama ada daripada keturunan,
ketidakseimbangan cecair kimia di dalam otak atau kelemahan fungsi kawalan fokus di dalam
otak seseorang. Kanak-kanak ADHD kebiasaannya dikenalpasti sekitar umur 3 hingga 5
tahun. ADHD boleh berlanjutan hingga ke umur dewasa. Mereka ini kebiasaannya bersifat
hiperaktif dan mempunyai masalah dalam mengawal tindakan impulsif. Di samping itu,
mereka juga bersifat kurang fokus dan kerap bertukar aktiviti di dalam jangka masa yang
sangat pendek.
Setakat ini, tiada penawar kepada ADHD. Walau bagaimanapun, ADHD boleh
dikawal melalui pelaksanaan terapi yang bersesuaian dan berterusan. Ia bukan semata-mata
berkenaan isu penyembuhan dan pemulihan, tetapi lebih kepada mengoptimumkan
keupayaan mereka sebagai individu yang efektif serta boleh berdikari. Oleh itu, kanak-kanak
ADHD ini amat memerlukan sokongan daripada semua pihak dan sekurang-kurangnya
masyarakat mengenali dan memahami ADHD ini dan seterusnya menyayangi anak-anak ini.
45