Page 55 - eDinamik
P. 55
INSPIRASI INSAN KELAINAN UPAYA
Norhasniza Mohd Hasan Abdullah, Nur Liyana Mohamed Yousop,
Zuraidah Ahmad, Nur’Asyiqin Ramdhan, Roslina Mohamad Shafi,
Shashazrina Roslan
Pepatah Melayu ada menyebut ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’. Dalam
pada ramai anak muda yang sempurna sifatnya selesa bergoyang kaki tanpa halatuju dan cita-
cita, ramai insan kelainan upaya di luar sana telah menyahut seruan dan cabaran kerajaan
untuk menjalankan perniagaan. Namun, menjadi usahawan kelainan upaya yang berjaya,
bukanlah suatu perkara yang mudah. Kekurangan yang dimiliki mungkin dilihat sebagai liabiliti
bagi sesetengah golongan masyarakat. Namun siapa sangka liabiliti yang dimiliki akhirnya
menjadi aset yang disanjungi dan dihormati. Ironinya, mereka yang telah berjaya ini seakan
membujur lalu melintang patah. Walaupun tidak sempurna sifat, berkerusi roda dan hilang
penglihatan, mereka seakan melihat dunia ini tidak ada yang mustahil. Menerusi artikel ini, kami
ingin mengetengahkan salah seorang usahawan kelainan upaya yang lahir serba kekurangan
namun berjaya membuka mata dunia bahawa tiada apa yang mustahil asalkan adanya iltizam.
Tanggal 7 Disember 1981 menyaksikan kelahiran seorang insan istimewa yang diberi
nama sebagai Zhariff Afandi. Kelahirannya tanpa hembusan nafas, tangisan dan pergerakan
sehingga menyebabkan pakar perubatan mengesyaki beliau telah meninggal dunia sewaktu
dilahirkan. Namun, berpantang maut sebelum ajal, insan istimewa tersebut kini telah berjaya
melakar pelbagai kejayaan walaupun tanpa kedua belah tangan. Atas semangat untuk
setanding manusia normal, beliau telah memulakan sesi persekolahan seawal usia dua tahun
setengah. Pada usia empat tahun pula, beliau telah menyertai kelas renang dan berani
melakukan parasailing. Beliau yang melabelkan dirinya sebagai budak lasak mula menjinakkan
diri dengan aktiviti menunggang kuda pada usia sembilan tahun.
Perjalanan kerjaya beliau bermula setelah menamatkan pengajian di Universiti Griffith,
Australia dalam bidang psikologi. Oleh kerana berlainan dengan insan lain, beliau menghadapi
sedikit kesukaran apabila tidak mendapat keyakinan dan kepercayaan daripada masyarakat
tempatan. Namun akhirnya beliau telah dilantik sebagai Ketua Bahagian Perkembangan
Perniagaan di PRIDE Foundation iaitu sebuah pertubuhan kanser payu dara sebelum menjadi
pengurus besar di Denai Alam Recreation and Riding Club (DARC), sebuah organisasi
berkaitan bidang rekreasi berkuda.
46