Page 53 - eDinamik
P. 53
AHMAD SIRHAN DAN ADHD
Zuraidah Binti Sipon
“Apa main tolak-tolak orang ni? Main elok-elok je tak boleh ke?”, bentak seorang lelaki
dewasa kepada seorang kanak-kanak lelaki. Dipercayai lelaki dewasa tersebut adalah ayah
kepada seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan usia 2 tahun. Kanak-kanak
perempuan itu telah ditolak oleh seorang kanak-kanak lelaki yang tidak sabar menunggu giliran
untuk melalui sebuah titian.
Waktu itu, saya membawa Ahmad Sirhan, 3 tahun, bermain di taman permainan di sekitar
Bukit Jalil. Walaupun Ahmad Sirhan seorang yang sangat aktif, dia masih belum boleh bercakap
ketika itu. Kesannya, mata saya perlu sentiasa peka kepada pergerakan, tindakan dan lokasinya.
Keaktifannya bergerak ke pelbagai lokasi dalam jangka masa yang sangat singkat menyebabkan
saya seringkali gagal menjejakinya lantas menyebabkan Ahmad Sirhan sering hilang dari radar
penglihatan saya. Yang paling menggusarkan saya ketika itu adalah tindakannya yang sangat
spontan dan seperti tiada sebarang pertimbangan. Perkara ini menjadi kebimbangan utama saya
setiap kali membawa Ahmad Sirhan untuk aktiviti di luar rumah.
Membawa Ahmad Sirhan ke tempat awam bermakna mendedahkannya kepada
kebarangkalian dia dipandang serong, dimarahi malah ditengking oleh orang awam yang tidak
faham keadaannya. Dalam masa yang sama, saya sendiri perlu membuka minda dan sentiasa
bersedia untuk berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka. Diakui, kesesuaian masa dan
mood Ahmad Sirhan dan saya sangat mempengaruhi kesediaan saya untuk membawanya
menjalani aktiviti di luar rumah. Jika salah seorang dari kami tidak bersedia, kami hanya akan
membuat aktiviti di dalam rumah. Kisah silam Ahmad Sirhan di taman permainan sahaja pun saya
sudah boleh dikategorikan sebagai agak tragik. Beberapa kali Ahmad Sirhan ‘dengan tanpa niat’
telah menyebabkan kemalangan kecil di taman permainan dan rata-rata disebabkan oleh
tindakannya yang secara spontan menolak kanak-kanak lain di hadapannya. Waktu itu, saya
sendiri tidak pasti kenapa Ahmad Sirhan sering bertindak seperti seorang yang tidak sabar atau
tidak boleh beratur untuk menunggu giliran. Setiap kali selepas membuat kesalahan pula, Ahmad
Sirhan akan melarikan diri dari lokasi kejadian.
Foto: Adik Ahmad Sirhan sedang bermain
di taman permainan kanak-kanak
44