Page 120 - Saujana Pujangga 2022
P. 120
CERPEN
bersih. Namun di kem latihan ini, setiap hari, pasti ada sahaja serangga yang dijumpainya di dalam tandas dan bunknya. Siti tidak tahu berapa lama lagi dia dapat bertahan di situ. Siti mengeluh panjang.
Sewaktu di meja makan, Siti duduk berseorangan. Sehingga kini, dia masih belum berkawan dengan sesiapa pun. Dia terpandang dua orang jejaka di hadapannya. Mereka menjeling ke arah Siti lalu saling bertukar pandangan.
“Lembik sungguh perempuan itu. Sudahlah tak dapat berlari pantas, tak punya daya tahan pulak tu! Ada hati konon nak jadi askar!” komen jejaka yang berkaca mata itu.
Dia pun terus memerhatikan Siti. Jejaka di sebelahnya mengangguk- angguk setuju. Tanpa disangka, perbualan mereka itu terlalu kuat sehinggakan Siti sendiri terdengar perbualan mereka. Hancur berkecai hatinya. Teruk sangatkah prestasinya itu?
Pada malam itu, perbualan dua orang jejaka itu masih lagi bermain dalam fikirannya. Ingin sahaja dia pulang ke rumah untuk melepaskan rindu terhadap kedua-dua orang tuanya. Ingin sahaja dia berputus asa. Siti terus merenung kosong dinding bunknya. Fikiran Siti menerawang mengenangkan peristiwa lama semasa dia mendengar kisah datuknya menjadi seorang askar suatu masa dahulu.
“Atuk, ceritakanlah pengalaman Atuk sebagai seorang askar!” pinta Siti dengan matanya bulat penuh minat semasa dia kecil dahulu.
Tangannya berhenti membelek-belek album. Atuk tersenyum. Terserlah barisan-barisan kedut di raut wajahnya. Orang tua itu sangat murah dengan senyuman. Rambut Siti, cucu kesayangannya sering diusap-usapnya dengan lembut. Setiap hari, Atuk tidak putus-putus berkongsi cerita tentang pengalamannya sebagai seorang askar sewaktu Perang Dunia Kedua. Dilayankan sahaja karenah cucunya itu. Walaupun sudah
berkali-kali berkongsi, Siti tidak jemu mendengar kisah datuknya itu. Semakin kerap didengar semakin dia berminat untuk menceburi
bidang itu.
“Apabila Siti besar nanti, Siti ingin jadi askar seperti Atuk!” jerit Siti keriangan dan penuh keyakinan.” Tetapi, Siti bukan lelaki. Jadi, Siti tidak
boleh jadi askarkah, Atuk?” soal Siti ragu-ragu kepada
datuknya. Atuk tersenyum lagi.
“Siti boleh jadi apa sahaja yang Siti inginkan. Jangan biarkan kata- kata orang lain jadi penghalang cita-cita Siti. Atuk percaya, suatu hari nanti, Siti akan menjadi seorang askar yang berjaya jika Siti gigih berusaha!” nasihat Atuk dengan penuh keyakinan.
118 Saujana Pujangga 2022