Page 13 - Saujana Pujangga 2022
P. 13
Sementara itu, pelajar MLEP Tahun 2 pula telah menunjukkan bakat mereka dalam tarian dan nyayian tradisional Melayu. Mereka juga menonjolkan bakat lakonan mereka menerusi projek Dramaneka, sebuah projek sulung anjuran MLEP@TMJC. Dalam pementasan Dramaneka, pelajar melakonkan sedutan-sedutan adegan drama yang dipelajari dalam subjek H2 Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Kami juga telah berkolaborasi dengan Sekolah Poi Ching, sebuah sekolah rendah Program Bantuan Khas (SAP) untuk menggalakkan para pelajar mereka yang majoritinya berbangsa Cina, meluaskan pengetahuan mereka tentang kepelbagaian budaya yang ada di negara ini. Kolaborasi ini memberikan peluang kepada para pelajar kami untuk mendampingi pelajar-pelajar sekolah ini dan mendedahkan mereka kepada salah satu aspek budaya Melayu. Selain mengajak mereka menyertai kuiz berkenaan busana tradisi Melayu, para pelajar cilik ini juga diajar cara membuat tanjak. Sesi ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan kerana semua pelajar melibatkan diri secara aktif dalam semua aktiviti yang dirancang untuk mereka.
Pencapaian para alumni MLEP@ TMJC turut membanggakan kami. Bekas pelajar kami dari kohort 2019, Muhammad Danial Afiq Bin Mohamed Fharick, telahpun dianugerahi biasiswa Kewartawanan Media SPH pada Ogos 2022. Kini, beliau sedang mengikuti pengajian di NUS College of Humanities and Sciences. Sementara itu, Nurul Iman Binte Othman dari kohort 2021 pula telah menerima Hadiah Buku Perdana Menteri, sebuah anugerah bilingualisme. Kini, Nurul Iman sedang mengikuti pengajiannya dalam jurusan Undang-undang di SMU.
Kami amat berbangga dengan segala usaha yang dicurahkan oleh para pelajar serta guru untuk terus mengembangkan rasa cinta terhadap pembelajaran dan penghayatan bahasa dan budaya Melayu sama ada di maktab mahupun dalam kehidupan mereka secara amnya.
Saya yakin MLEP@TMJC akan terus berkembang dan memperkasa kedudukannya dari tahun ke tahun.
Cik Pamela Yoong
Pengetua
Maktab Rendah Tampines Meridian
PRAKATA
Pengetua
TMJC
Saujana Pujangga 2022 11