Page 137 - Saujana Pujangga 2022
P. 137
warni yang seindah ini, tetap diri adinda yang memikat hati kakanda,” lelaki itu membalas sambil terus menghampiri kekasihnya dengan sebuah senyuman yang mengusik jiwa. Dia pun memegang tangan kekasihnya dan membelai cincin yang menghiasi jari manisnya - tak kisah akan tanah dan baja yang mula mengotori tangannya sendiri.
“Ketahuilah sayangku, bahawa aku akan sentiasa mencintai kamu di setiap alam semesta yang ada.”
Melihat sinar gembira dan kasih sayang yang mengerlip di mata pasangan kekasih itu, kuntum kebahagiaan turut berbunga di lubuk hati Nadia dan meruap dadanya.
Cekrek!
Nadia tersenyum dengan puas.
“Hah ... cinta sejati memang wujud,” bisik hati Nadia, sambil memperhatikan polaroid yang baru diambilnya. Dia kemudian mengeluarkan sebuah buku tebal dari begnya lalu menampal polaroid tersebut di halaman 143.
Ya, Nadia telah menonton aksi cinta yang serupa sebanyak 142 kali.
Memang benar, di kesemua 142 alam semesta yang dilawatinya, dari Bumi-2 hingga Bumi-143, Nadia menjalani kehidupan yang sama sekali berbeza. Namun, sama ada dia merupakan seorang selebriti yang sangat terkenal, seorang guru ataupun seorang pengemis, lelaki itu selalu berada di sisinya - tetap setia mencintainya tanpa syarat walaupun dengan keadaan yang mungkin tidak menyebelahi mereka.
Sebanyak 142 kali, Nadia telah menonton aksi cinta yang serupa.
Sebanyak 142 kali, Nadia telah menonton sebuah kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan dan cinta.
Sebanyak 142 kali, Nadia telah menonton pelbagai versi dirinya jatuh hati dengan lelaki yang sama. Lagi ... dan lagi ... dan lagi.
142 senario yang berbeza dan hanya satu kesimpulan yang boleh dibuat.
Lelaki itu merupakan jodohnya.
Nadia yakin.
Beep ... Beep ... Beep ... !
“Selamat datang kembali ke Bumi-1. Kami harap anda menikmati pengembaraan anda.”
Ingatan Nadia kembali mengimbau suasana masa lampau - kenangan pahit, manis, suka dan duka bermain dalam kotak fikirannya.
“Kamu berdua tidak boleh bersama! Mama tidak akan pernah merestui perhubungan kamu!”
“Bertentangan dengan pantang larang, kamu tahu tak? Apakah kamu berdua tidak malu?”
“Terdapat sebuah frasa Hokkien, Ka Gi Lan, yang bermakna golongan kita sendiri. Dan dia bukan salah satu daripada kita.”
Kata-kata tajam itu menikam terus ke jantung dan harapan Nadia untuk hidup bahagia bersama Daniel jatuh berderai umpama jutaan debu yang berkeliaran di tanah.
Nadia termangu-mangu tidak mengerti. Pertanyaan demi pertanyaan menjentik hati dan perasaannya.
Mengapakah mereka tidak boleh bersama? Adakah perbezaan seburuk itu?
Dunia Nadia yang tadinya cerah kini telah diliputi awan gelap kerana hidup tanpa Daniel sama sahaja dengan jiwa yang hampa...
CERPEN
Saujana Pujangga 2022 135