Page 148 - Saujana Pujangga 2022
P. 148
CERPEN
GELAP HATI
Nurhuzaty Binte Muhammad Nur
YIJC
Tiga ... Dua ... Satu ...
Gelap.
Pakar hati, Doktor Irfan dan doktor-doktor lain serta beberapa jururawat berdiri di sekeliling katil Naufal di wad kecemasan. Mereka semua tercengang kehairanan melihat imbasan x-ray serta MRI hati Naufal setelah Naufal dibawa ke hospital akibat pengsan di tempat kerjanya.
“Doktor cakap apa ni? Bagaimana hal ini boleh terjadi?”
“Secara jujur, saya dan pasukan saya sendiri tidak pernah menghadapi keadaan seperti ini. Buat masa sekarang, tiada apa yang dapat saya lakukan lagi. Saya akan membenarkan Encik Naufal pulang. Banyakkan berehat. Jika ada rasa sakit, sila kembali ke sini.”
Bunyi loceng sekolah berbunyi.
Naufal merupakan Ketua Jabatan Matematik di Maktab Rendah Permata. Setiap pagi dia melangkah masuk ke pejabat, tanpa senyuman. Dia langsung tidak memandang orang di sekelilingnya apatah lagi menegur atau memberi salam. Memang begitulah sikap Naufal. Sombong dan keras hati.
“Sombongnya,” kata Cikgu Salmah sambil menggelengkan kepalanya.
“Bukankah dia baru kembali dari cuti sakit selepas dia pengsan? Aku dengar hatinya berpenyakit. Aku harap doktor dapat merawat
hatinya yang keras tu,” seorang guru lain berbisik.
Pejabat itu disambut dengan keceriaan guru- guru berbual pada waktu pagi. Naufal keluar dari bilik pejabatnya dengan kedua-dua belah keningnya berkerut.
“Apa bising-bising ni? Ini sekolah bukan pasar!” tengking Naufal.
“Maaf, Encik Naufal,” balas guru baharu bernama Adi. Guru-guru yang lain menjeling ke arah satu sama lain dengan rasa penuh benci terhadap Naufal.
“Maaf, awak tu tiada nilainya kepada saya!” Naufal mengherdik Adi.
“Awak guru baharu, bukan? Berhenti membuang masa. Cetakkan semua nota ini dalam masa dua jam,” Naufal melemparkan sebuah fail tebal ke atas meja di hadapan Adi.
“Ingat, jangan cuba berlagak pandai di sini,” Naufal memberi amaran.
“Saya akan siapkan kerja ini dengan segera Encik Naufal!” sahut Adi. Tiada balasan daripada Naufal.
Dalam masa satu jam cetakan nota sudah pun siap. Adi meletakkan nota-nota tersebut di atas meja di luar bilik Naufal lalu menuju ke bilik rehat guru untuk berinteraksi dengan guru-guru yang lain. Adi peramah orangnya dan suka bergurau. Dengan pantas, ramai yang berasa selesa bersama Adi.
146 Saujana Pujangga 2022