Page 185 - Saujana Pujangga 2022
P. 185
FORUM
Shirleen
Federick
Saujana Pujangga 2022 183
Pada pandangan saya, kegiatan Bulan Bahasa tahun ini berjaya dalam menimbulkan rasa cinta kepada bahasa Melayu, terutamanya kepada golongan muda. Hal ini tercapai kerana adanya kemudahan yang disediakan bagi masyarakat untuk mengambil bahagian dalam beraneka aktiviti di pelbagai tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka, sehingga mudah bagi masyarakat untuk menghadiri bengkel ataupun pertunjukan yang diadakan. Lebih hebatnya lagi, pengerusi Bulan Bahasa 2022 telah membolehkan acara-acara Bulan Bahasa dijalankan secara dalam talian sehingga mudah untuk masyarakat turut serta tidak kira di mana sahaja mereka berada. Pilihan untuk menumpukan fokus kepada golongan muda juga merupakan pilihan yang tepat. Hal ini kerana golongan muda kurang terdedah kepada bahasa Melayu dan ramai daripada mereka lebih cenderung untuk bertutur dalam bahasa Inggeris semasa berbual dengan ahli keluarga atau rakan-rakan mereka. Golongan ini jugalah yang akan meneruskan dan melestarikan bahasa Melayu pada masa hadapan. Maka, objektif Bulan Bahasa pada tahun ini amatlah bernas.
Namun begitu, kegiatan Bulan Bahasa ini masih belum melibatkan golongan muda sebagai perancang ataupun penganjur acara. Sebahagian besar daripada pihak penganjur merupakan orang dewasa. Pada pandangan saya, dengan melibatkan golongan muda sebagai sebahagian daripada tenaga kerja pihak penganjur, kegiatan yang lebih menarik bagi orang muda boleh dihasilkan dan memaksimumkan penyertaan golongan muda. Tambahan lagi, dengan menyertakan golongan muda dalam perancangan aktiviti, mereka dapat menghargai bahasa ibunda mereka dengan lebih mendalam lagi.
Kegiatan Bulan Bahasa dapat dipertingkat dalam usahanya untuk memasyarakatkan bahasa Melayu di Singapura dengan menggunakan media sosial yang baharu sebagai platform pengiklanan yang lebih berkesan. Majlis Bahasa Melayu Singapura dapat menggunakan aplikasi media sosial TikTok untuk memuatnaikkan video-video menarik yang dapat memperkenalkan dan menggalakkan penyertaan semasa Bulan Bahasa. TikTok merupakan platform yang amat berkesan untuk mendapatkan perhatian lebih ramai orang berbanding dengan media sosial yang telah digunakan seperti Instagram yang hanya tertakluk pada jumlah pengikut akaun tersebut. Dilengkapi pelbagai video menarik, TikTok akan dapat menggalakkan lebih ramai belia Singapura untuk menyertai Bulan Bahasa memandangkan 62.1 peratus pengguna TikTok di Singapura merupakan kelompok usia 18-24 tahun. Maka, dengan memanfaatkan media sosial yang lebih baharu dan terkini, kegiatan Bulan Bahasa dapat disertai lebih ramai orang dalam masyarakat dan kejayaan usaha memasyarakatkan bahasa Melayu di Singapura akan lebih terjamin.